Buletin

KARAMJIT SERTAI APRC TAHUN DEPAN? MENTERI BELIA DAN SUKAN SEDIA BANTU

Pertemuan Karamjit Singh dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuahkan jalan penyelesaian positif selepas bekas juara rali dunia itu yang dilaporkan terpaksa mencari alternatif berbeza bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) sebagai perantara membantu pertemuan di Parlimen itu menyaksikan Reezal secara serius mahu membantu beliau meneruskan kariernya dengan mencari sumber penajaan bagi penyertaan di Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC), tahun depan.

Karamjit atau dikenali sebagai ‘Flying Sikh’ berkata, kira-kira RM3 juta diperlukan untuk menyertai kejuaraan berkenaan yang dijadual berlangsung sebanyak lapan siri bermula Mac tahun depan.

Katanya, sokongan yang diterima daripada Reezal dan YAKEB amat dihargai.

“Saya ingin menyertai Kejuaraan Rali Asia Pasifik sekali lagi. Harap tahun depan dengan kereta Proton Iriz R5 yang sudah siap dibuat di England,” kata juara APRC pada tahun 2001 dan juara WRC bagi kategori Kereta Pengeluar Dunia FIA pada 2002 itu.

“Kami ingin membeli sebuah kereta daripada mereka (pembuat kereta di England) termasuk alat ganti untuk kereta berkenaan. Untuk setahun, kurang daripada RM3 juta untuk menyertai lapan pusingan. Menteri berjanji untuk membantu saya menyertai (APRC) lagi.”

“Belum ada niat untuk bersara. Saya masih ingin berlumba, paling tidak lima tahun lagi.”

“Saya berterima kasih kepada menteri dan Datuk Noorul (Pengerusi YAKEB) kerana membantu saya. Gembira rasanya kerana ada peluang untuk menyertai rali pada tahun depan,” katanya.

Baru-baru ini, Karamjit, 58, dilaporkan menjual kereta kesayangannya Proton Waja pada harga RM7,000 bagi mendapatkan modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup. – Berita Harian/FB Reezal Merican Naina Merican

Google ads
Back to top button