Buletin

10 AKSESORI HONDA ACCESS PALING DIGEMARI UNTUK CIVIC DI JEPUN, SPOILER NO.1 DAN 10!

Honda Civic rupa baharu dijual secara rasmi di Jepun pada 13 September dan aksesori Honda Access turut ditawarkan secara serentak.

Honda hanya menawarkan Civic hatchback dan pelanggan mempunyai dua pilihan varian 2.0 liter hibrid iaitu Civic e:HEV LX dan EX.

Enjin pembakaran dalaman tunggal masih ditawarkan iaitu 1.5 liter VTEC Turbo dan juga dalam dua pilihan iaitu Civic LX dan EX dengan kotak gear CVT.

Satu yang istimewa adalah, selain Civic Type R, pelanggan ditawarkan Civic RS dengan kotak gear manual.

Civic RS memiliki kuasa 182 ps pada 6,000 rpm dan tork 240Nm dari 1,700 sehingga 4,500 rpm. Model ini juga istimewa dengan padanan rev, stereng talaan berbeza dan ampaian khas.

Untuk aksesori, Honda menawarkan dua pakej utama iaitu Sports Line dan Touring Line dan sama seperti Honda Accord yang diperkenal pada Mac.

Terbaru Honda mengumumkan sepuluh aksesori berasingan paling digemari pelanggan sejak ditawarkan pada September lalu sehingga pertengahan November.

Apa yang menarik ialah spoiler menduduki tempat pertama dan kesepuluh.

1. Spoiler (jenis sayap) – 68,200 yen (RM1,999)

Spoiler jenis sayap ini memang menarik dan turut meningkatkan daya mendap. Bukan sekadar bentuk yang melengkung, bahagian bawah spoiler mempunyai sebaris sirip.

2. Lencana H dan Civic – 11,000 yen (RM322)

Lencana yang terdiri daripada dua logo H dan satu logo Civic menduduki tempat kedua. Lencana ini nampak bermutu tinggi selain menarik dalam warna hitam krom.

3. Hon Eropah – 8,800 yen (RM257)

Hon juga tersenarai dan bunyi yang dikeluarkan kereta Eropah berbeza daripada kereta buatan Asia.

4. Lampu kabus LED – 63,800 – 66,000 yen (RM1,870 – RM1,934)

Bukan setakat lampu, perumah juga cantik dan sepadan dengan bampar depan model rupa baharu. Ada dua warna yang ditawarkan iaitu putih dan kuning.

5. Pelapik bendul pintu – 30,800 yen (RM902)

Ini aksesori yang wajar digemari dan bagus untuk permukaan bendul daripada tercalar. Jenis besi tahan karat dan bernyala nampak mewah.

Logo Civic akan menyala apabila pintu dibuka atau ditutup dan ditawarkan dalam warna putih yang paling banyak dibeli dan merah.

6. Nyalaan konsol tengah dan pemegang cawan – 22,000 yen (RM644)

Lampu begini menampakkan seperti kereta yang ‘siap’. Lampu LED merah lebih digemari pelanggan Civic RS manakala nyalaan putih untuk pemilik model lain.

7. Pendakap bampar depan – 25,300 – 28,600 yen (RM741 – RM838)

Rekaannya tajam dan menyerlah namun tidak boleh dipadan bersama lampu kabus. Pelanggan boleh memesannya dalam warna badan atau Crystal Black Pearl dan paling digemari.

8. Lampu lantai dan bawah kerusi – 17,600 yen (RM515)

Sama seperti lampu konsol tengah, nyalaan lantai dan bawah kerusi menaikkan lagi seri dan kemewahan kereta.

Lampu akan menerangkan bahagian lantai apabila pintu dibuka dan ditutup dan semasa memandu pada waktu malam. 

Dipadankan dengan lampu bendul pintu lebih lengkap dan nyalaan putih lebih digemari berbanding merah.

9. Lencana e:HEV – 5,500 yen (RM161)

Padanan bersama lencana H dan Civic nampak lebih seragam dan turut dibuat dalam warna hitam krom.

10. Spoiler (jenis ekor itik) – 59,400 yen (RM1,741)

Spoiler ekor itik sinonim dengan Honda Civic ‘bullet’ dua pintu. Spoiler jenis ini nampak ringkas dan lebih menarik jika dipadan bersama badan yang direndahkan atau Civic berwarna kuning!

Google ads
Back to top button