THIERRY NEUVILLE – INILAH KISAH SANG JUARA DUNIA
Nama Thierry Neuville yang berusia 36 tahun barangkali benar – benar berada di puncak dunia ketika ini. Thierry Neuville kini adalah Juara FIA World Rally Championship (WRC) 2024 setelah beraksi dalam pentas rali sekian lama.
Thierry Neuville telah dilahirkan pada 16 Jun 1988 dan dibesarkan di Saint Vith Belgium, sebuah kota yang tenang. Menariknya minat beliau tentang sukan permotoran sebetulnya telah pun bermula semenjak dari kawasan litar yang berhampiran di Rallye du Condroz-Huy dan juga Circuit de Spa-Francorchamps yang terletak tidak dari kawasan tempat tinggal.
Pada usia enam tahun, bapanya Alain menyerahkan kunci basikal quad kepadanya. Berjam-jam yang dihabiskan untuk merobek ladang membantu mengasah koordinasi dan cintanya terhadap kelajuan. Pun begitu Thierry Neuville sebetulnya membesar dalam situasi yang bukanlah dari orang senang. Kedua ibu bapa duduk berasingan untuk mencari duit lebih.
Kesusahan yang pernah dilalui oleh Thierry Neuville ini sehinggakan pernah suatu ketika duit beliau di dalam bank hanya berbaki €256 (RM1,199). Dan beliau masih mahu meneruskan aksi dalam dunia rali ketika itu walau pun harus berbalah dengan sang ibu.
Thierry Neuville telah memulakan aksi rali diperingkat akar umbi dengan menggunakan model Opel Corsa berwarna kuning. Ketika beraksi menggunakan jentera Ford Fiesta ST, Thierry Neuville telah pun berjaya memenangi Royal Automobile Club of Belgium Rally pada 2008 sekali gus memberikan beliau peluang untuk memandu jentera Citroen C2 R2 Max dalam aksi Citroën Rally Trophy Belux pada tahun berikutnya.
Menjelang 2010, beliau telah menembusi aksi pentas antarabangsa dengan beraksi dalam Junior World Rally Championship serta Intercontinental Rally Challenge dengan memandu Peugeot 207 S2000.
Rezeki beliau hadir pada tahun 2012 selepas dilamar untuk memandu jentera Citroen DS3 WRC bersama pasukan Citroen Junior Team. Susulan daripada itu, beliau menyertai pula pasukan Qatar M-Sport World Rally Team. Dan menariknya beliau berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan tahta WRC tewas kepada Sebastian Ogier.
Pada tahun 2014, beliau telah dilamar untuk menyertai sebuah pasukan serba baharu, Hyundai Motorsport yang ketika itu terpaksa bermula dari kosong. Bersama Hyundai, Thierry Neuville berjaya menonjol sebagai pemandu WRC yang konsisten. Apatah lagi beliau berjaya menduduki sebagai tempat kedua tahta WRC selama empat kali (2017 – 2020).
Dan akhirnya setelah belasan tahun beraksi dalam dunia rali, tahun 2024 adalah tahun yang cukup gemilang buat Thierry Neuville apabila berjaya muncul sebagai Juara WRC. Suatu gelaran yang cukup diidamkan buat pemandu rali.
BACA : ALKISAH OTT TANAK – JUARA BAHARU WRC 2019
BACA : KALLE ROVANPERÄ – INILAH DIA JUARA WRC TERMUDA YANG PATUT ANDA KENALI