Buletin

HONDA CIVIC 2025 DENGAN KIT HONDA ACCESS, SPORTS LINE DAN TOURING LINE

Honda telah melancarkan Civic rupa baharu secara rasmi di Jepun dan turut memperkenalkan Civic RS dengan kotak gear manual enam kelajuan.

Pelanggan di sana ditawarkan dua varian 2.0 liter hibrid iaitu Civic e:HEV LX dan EX.

Pelanggan yang mahu enjin 1.5 liter VTEC Turbo ditawarkan Civic LX dan EX dengan kotak gear CVT. Civic RS pula satu-satunya varian yang menggunakan kotak gear manual.

Civic Turbo memiliki kuasa 182 ps pada 6,000 rpm dan tork 240Nm dari 1,700 sehingga 4,500 rpm. Civic RS sekali lagi istimewa dengan padanan rev, stereng talaan berbeza dan ampaian khas.

Honda Civic EX Touring Line 2025

Seperti biasa Honda Access turut serta dan menawarkan aksesori yang boleh dibeli pelanggan pada hari sama Civic dijual iaitu 13 September.

Bampar baharu dilekapkan sirip sisi yang sepadan dengan bibir bawah. Gabungan tersebut serta-merta menyerlahkan penampilan Civic.

Sama seperti kit Honda Access untuk Accord, pelanggan ditawarkan dua pakej iaitu Sports Line dan Touring Line. Konsepnya mudah, perkakasan sama tetapi dalam format warna berbeza.

Touring Line tampil dengan sirip sisi, pendakap lampu besar dan muncung jeriji bawah dalam warna sama seperti badan. 

Perkakasan tersebut dan perumah cermin sisi untuk Sports Line pula menggunakan warna hitam kilat untuk gaya lebih sporti.

Untuk pemanduan waktu malam dan cuaca buruk, Honda Access menawarkan lampu kabus LED warna kuning atau cerah. Dari gambar nampak seperti sirip sisi dan lampu tidak boleh dipasang bersama.

Skirt sisi sedia ada memang sudah menarik dan lebih menyerlah jika dipadan bersama rim 18 inci Modulo MS-038 (tiada dalam gambar).

Pada bahagian belakang Honda menawarkan dua pilihan spoiler iaitu jenis sayap (wing type) dan ekor itik (ducktail type).

Spoiler jenis sayap mempunyai keberkesanan aerodinamik dan Honda Access mengunakan teknologinya untuk mendapatkan bentuk yang optimum pada sayap utama dan sirip sisi.

Tidak hanya bahagian atas, bawah spoiler juga menarik dengan corak mata gergaji yang berkesan dari segi aerodinamik dan memberi prestasi cemerlang di selekoh.

Spoiler jenis ekor itik sebelum ini ditawarkan di Eropah dan direka untuk keadaan di sana dengan kelajuan lebih tinggi berbanding di Jepun. 

Lagi aksesori luaran ialah set Emblem Hitam dengan logo e:HEV, logo H depan dan belakang dan logo Civic warna hitam krom. Logo H pada hab rim juga ditawarkan dalam warna hitam krom.

Pada bahagian dalam, Civic meriah dengan nyalaan merah atau putih pada panel pintu, konsol tengah, ruang kaki dan pelapik bendul pintu.

Pintu but juga mempunyai lampu dan lebih bergaya sekiranya pelanggan mendapatkan lampu LED projektor yang menayangkan logo Civic di atas permukaan jalan.

Tidak hanya menawarkan perkakasan visual, Honda Access menawarkan aksesori audio. Bukan sistem bunyi tetapi hon Euro.

Google ads
Back to top button