Buletin

119 TEMPAT BERTEDUH MOTOSIKAL BAKAL DIBINA, LIBAT KERJASAMA KKR DAN LLM

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini mengumumkan bahawa sebanyak 119 tempat berteduh di lebuh raya seluruh negara akan dibina di bawah inisiatif Bitara MADANI.

Menurut beliau, usaha itu adalah bagi memudahkan penunggang motosikal berteduh terutama ketika waktu hujan.

Beliau berkata pembinaan kemudahan itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan Lembaga Lebuh Raya (LLM) dan melibatkan 33 syarikat konsesi lebuh raya.

Tambahnya lagi, 40 daripada 119 tempat berteduh baharu itu dijangka siap tahun ini manakala selebihnya tahun depan dan ia adalah tambahan daripada 353 tempat berteduh sedia ada.

“Ini penting kerana kerap berlaku kemalangan membabitkan pengguna motosikal khususnya semasa hujan dan mereka selama ini hanya berteduh di lorong kecemasan dan ini amat berbahaya,” katanya.

Beliau berharap kerjasama KKR dengan LLM dan pihak syarikat lebuh raya berkaitan diteruskan dengan lebih lagi inisiatif baharu pada masa akan datang.

“Kita teruskan bukan sekadar untuk menyediakan kemudahan sebegini malah kita sentiasa mencari idea di mana kita boleh menyediakan kemudahan lain untuk keselesaan serta keselamatan pengguna motosikal lebuh raya.

“Ini kerana pengguna motosikal merupakan kumpulan paling vulnerable (berisiko tinggi mengalami kemalangan).”

Dalam pada itu, Nanta mengingatkan penunggang motosikal supaya berhati-hati semasa menggunakan lorong kecemasan kerana ia bukan laluan eksklusif untuk mereka, sebaliknya digunakan kenderaan lain yang berhenti atas faktor kecemasan. – Bernama

Google ads
Back to top button