Buletin

VIETNAM LARANG MOTOR PETROL – JEPUN BAGI AMARAN RIBUAN PEKERJA BAKAL HILANG KERJA!

Kerajaan Jepun dan beberapa pengeluar utama negara itu dilaporkan menyuarakan kebimbangan kepada Vietnam berhubung rancangan larangan motosikal berkuasa petrol di Hanoi.

Larangan berkenaan dijangka memberi kesan besar terhadap pasaran bernilai AS$4.6 bilion (RM21.8 bilion) serta ribuan pekerjaan tempatan, kebanyakannya berkait rapat dengan gergasi automotif Jepun, Honda.

Langkah itu diumumkan oleh Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, yang menetapkan larangan kemasukan motosikal petrol ke pusat bandar Hanoi bermula pertengahan 2026, dengan sekatan lebih meluas menyusul pada 2028.

Dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan pencemaran udara di ibu negara.

Namun, menurut laporan Reuters, Kedutaan Jepun di Hanoi telah menghantar surat rasmi kepada pihak berkuasa Vietnam, memberi amaran bahawa pelaksanaan larangan secara mendadak boleh menjejaskan peluang pekerjaan dalam industri sokongan termasuk pengedar motosikal dan pembekal komponen.

Pihak kedutaan turut menyeru agar kerajaan Vietnam mempertimbangkan pelan peralihan yang lebih realistik serta dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran proses elektrifikasi.

Pasaran dua roda Vietnam merupakan antara yang terbesar di dunia, dengan kadar pemilikan hampir menyamai 80 peratus daripada 100 juta penduduk negara itu.

Menurut data Mordor Intelligence, nilai pasaran motosikal Vietnam tahun ini dianggarkan sekitar AS$4.6 bilion (RM21.8 bilion), di mana Honda menguasai hampir 80 peratus dengan jualan melebihi 2.6 juta unit pada 2024.

Dalam masa yang sama, Persatuan Pengeluar Motosikal Asing Vietnam – dianggotai jenama Jepun seperti Honda, Yamaha dan Suzuki – turut mengeluarkan amaran bahawa larangan tersebut boleh menyebabkan gangguan pengeluaran, malah berisiko membawa kepada kebankrapan di kalangan pembekal tempatan.

Persatuan itu turut meminta tempoh penyesuaian sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun bagi membolehkan industri menyediakan infrastruktur pengecasan serta menyesuaikan barisan pengeluaran.

Setakat ini, kerajaan Vietnam belum memberikan maklum balas rasmi terhadap kebimbangan yang disuarakan Jepun mahupun pengeluar motosikal.

Namun, Hanoi menegaskan langkah tersebut penting bagi menangani tahap pencemaran udara yang tinggi, sambil Ho Chi Minh City juga dilaporkan bakal melaksanakan sekatan serupa terhadap kenderaan petrol.

Honda, yang memiliki empat kilang di Vietnam, dikatakan sedang berusaha melobi kerajaan untuk mengkaji semula garis masa pelaksanaan larangan itu. Sumber industri menyatakan bahawa syarikat tersebut mungkin mempertimbangkan pengurangan kapasiti pengeluaran sekiranya dasar berkenaan diteruskan tanpa penyesuaian.

Walaupun Honda telah memperkenalkan beberapa model elektrik seperti CUV e: dan ICON e:, majoriti motosikalnya di Vietnam masih bergantung kepada enjin petrol.

Menariknya, jenama “Honda” telah menjadi sinonim dengan istilah “motosikal” dalam kalangan penduduk tempatan, mencerminkan dominasi syarikat itu dalam pasaran negara tersebut.

Sebaliknya, syarikat tempatan VinFast kini menikmati lonjakan jualan motosikal elektrik dan e-basikal, meningkat 55 peratus kepada hampir 70,000 unit pada suku kedua 2025.

Penganalisis menjangka angka itu akan terus melonjak apabila larangan motosikal petrol dikuatkuasakan kelak.

Di samping itu, jualan kereta berkuasa petrol di Vietnam turut menurun 18 peratus pada September berbanding tempoh sama tahun lalu, susulan kebimbangan pengguna terhadap dasar mesra alam yang diumumkan kerajaan.

Walaupun pengeluar Jepun seperti Toyota kekal sebagai peneraju pasaran automotif Vietnam, kebimbangan kian meningkat bahawa dasar peralihan tenaga secara drastik boleh memberi kesan domino terhadap keseluruhan ekosistem industri automotif negara itu.

Google ads
Back to top button