BERMULA 15 SEPTEMBER, SATU UJIAN TEORI SAJA UNTUK PEROLEH LESEN MOTOSIKAL, KERETA
Pemilik lesen memandu hanya perlu menjalani ujian litar dan amali untuk memohon lesen kelas berbeza iaitu pengecualian kursus serta ujian teori.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penyeragaman itu akan berkuat kuasa mulai 15 September ini dengan pengurangan yuran lesen sebanyak RM100.
“Sebagai contoh, seseorang yang sudah lulus ujian KPP01 (Teori) bagi lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 kali kedua apabila ambil lesen memandu motokar,” katanya.
Tambah Anthony, ketetapan baharu mengenai Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) itu dapat memudahkan pengambilan lesen memandu terutama kepada anak muda.
Mengikut peraturan sedia ada, mereka yang ingin mendapatkan lesen motosikal dan kereta secara berasingan perlu menduduki dua ujian teori.
Katanya, syarat kelayakan umur bagi motosikal adalah kekal pada 16 tahun dan ke atas manakala bagi kereta adalah 17 tahun selain perlu bebas daripada sebarang tindakan senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini juga bagi menjimatkan masa dan kos mendapatkan lesen memandu yang sah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memelihara kesejahteraan rakyat.” – Kosmo Online
- BACA: ANTHONY LOKE UMUM KEMAS KINI MENGENAI PENGANGKUTAN UDARA, LAUT DAN DARAT KEPADA PELABUR
- BACA: KEMALANGAN MENGAKIBATKAN KEMATIAN BAYI DALAM KANDUNGAN – ANTHONY LOKE ARAH JPJ DAN APAD AMBIL TINDAKAN SEGERA
- BACA: INDONESIA BAKAL GUNA ELECTRONIC ROAD PRICING (ERP), NETIZEN MALAYSIA MAHU SISTEM SAMA DILAKSANAKAN
- BACA: CEO UBER TERKEJUT HARGA TAMBANG UBER MAHAL – PENING MAT!