Buletin

20 TAHUN BERKHIDMAT. MERCEDES AMG GT-R, SAFETY CAR F1 PALING BERKUASA DALAM SEJARAH

Sejak 1996, FIA telah “melantik” Mercedes sebagai kereta “safety car” bagi perlumbaan paling berprestij Gran Prix Formula Satu. Ia adalah model C63 AMG dan semenjak itu Mercedes terus unggul memperkenalkan beberapa model berbeza setiap tahun.

Safety Car atau Kereta Keselamatan mula diperkenalkan dalam perlumbaan F1 pada tahun 1973 berikutan kerapnya berlaku kemalangan dalam perlumbaan ini.

BACA: 10 SAFETY CAR TERBAIK DALAM SEJARAH

Safety Car akan mula beraksi dalam trek bila pengarah perlumbaan mahu memperlahankan kelajuan perlumbaan atas sebab keselamatan seperti selepas berlakunya kemalangan ataupun terdapat takungan air di atas litar selepas hujan turun.

Kereta ini akan berada dalam keadaan siap sedia sepanjang perlumbaan dan bersedia beraksi sebaik diarahkan oleh bahagian Kawalan Perlumbaan. Ia dilengkapi dengan sistem komunikasi dan paparan video termaju untuk membolehkan ia berhubung dengan bilik kawalan.

Porsche 914, Kereta Keselamatan pertama yang mula digunakan secara rasmi dalam Formula Satu pada tahun 1973

Sebelum Mercedes, kereta safety car pertama dianugerahkan kepada Porsche 914 pada tahun 1973. Ia mungkin tidak cukup laju dan maju, namun teknologi yang ada padanya adalah yang terbaik waktu zaman tersebut.

BACA: MERCEDES SINDIR FERRARI KALAH F1

Melintas ke tahun 2018, Mercedes AMG GT-R ini merupakan Kereta Keselamatan yang paling berkuasa dalam sejarah, ia sekaligus menggantikan model GT-S yang telah digunakan pada beberapa musim.

Sepertimana model AMG yang lain, GT-R ini dikuasakan enjin 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar. Ia telah ditala kepada 585 kuasa kuda dan 520 paun tork.

Mampukah ia “memandu” kereta pelumbaan F1 dengan baik?

Sudah tentu. Ia sebuah model yang telah diuji di litar Nurburgring dengan ekstensif dan kualiti pengendaliannya memang tak pernah dipersoalkan. 

 

Mesin ini mampu memcut dari 0-100 dalam masa kurang 3.5 saat dan kelajuan tertingginya ialah 318km sejam. 

Selain kereta yang bagus, ia juga dipandu oleh joki yang berpengalaman. Menurut Bernd Mayländer, lelaki di belakang roda stereng kereta ini “Saya tak sabar nak memandu kereta syarikat yang baru ni,”

Beberapa pengubahsuaian telah dibuat untuk memastikannya layak dipandu mengepalai perlumbaan.  AMG Track Package ini dipasangkan dengan sangkar keselamatan (roll cage) serta brek kompaun seramik.

Sebagai “tanda” Kereta Keselamatan, ia telah dipasangkan dengan lampu keselamatan di bumbung dan skup udara karbon untuk pengudaraan dan aerodinamik.

Di bahagian kabin, ia dilengkapi sepasang Apple iPad yang mempamerkan kereta-kereta yang sedang bergerak secara langsung beserta maklumat posisi, pusingan dan sebagainya. 

Mendampingi AMG GT-R ini ialah sebuah Mercedes-AMG C63 S wagon yang merupakan kereta medik yang membawa tiga orang kakitangan perubatan. 

Kedua-dua kereta ini akan mula berkhidmat pada perlumbaan F1 pusingan pertama di Melbourne minggu ini.

 

 

 

 

Google ads
Back to top button