Buletin

TOYOTA SERAH C-HR KEPADA 50 PELANGGGAN PERTAMA – RM145,500 SEUNIT

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini menyerahkan 50 unit crossover kompak Toyota C-HR serba baru kepada pemilik terawalnya dalam satu acara yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Ketua Jurutera Toyota C-HR, Takatomo Suzuki.

Penyerahan Toyota C-HR kepada pemiliknya juga menandakan pengenalan rasmi model tersebut ke pasaran tempatan.

“Sejak dipertontonkan tahun lalu, minat yang ditunjukkan terhadap C-HR sangat menggalakkan. Setakat ini, kami telah menerima lebih 1,500 tempahan. Memandangkan CH-R merupakan model yang cukup unik, kami ingin ambil kesempatan untuk menyerahkannya sendiri kepada 50 pemilik terawal kami.

“Kami ingin memastikan pengalaman pemilikan yang terbaik buat semua. Maka servis dan penyelenggaraan CH-R akan dilakukan oleh juruteknik terlatih khas. Model yang dibeli daripada UMW Toyota Motor dan pengedar sah akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

BACA: TOYOTA BEKUKAN CH-R SEMATA-MATA UNTUK UJI KETAHANAN AKSESORI

Sejak diperkenalkan di peringkat global, Toyota C-HR menerima sambutan hangat di semua pasaran di mana ia dilancarkan. Selain penampilan yang unik dan menarik, model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini telah banyak digunakan pada model-model baru Toyota.

Untuk pasaran Malaysia, C-HR hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu dengan enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan.

Ciri-ciri keselamatannya termasuk ABS sebagai standard, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).

C-HR juga dilengkapi ciri Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk mengelak daripada mengundur ketika mula bergerak di permukaan curam.

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model-model Toyota yang sebelumnya. Ia menggabungkan gayaan moden dengan fungsi termaju.

Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID).

Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival

Menyentuh tentang Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival dan Vios Challenge pula, Ravindran berkata acara berkenaan nyata menerima sambutan hangat di tiga lokasi sebelum ini; Batu Kawan di Pulau Pinang, MAEPS Serdang dan Medini City, Johor.

Pusingan terakhir dan kemuncaknya akan berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil hujung minggu ini (24 & 25 Mac).

“UMW Toyota Motor amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan acara yang cukup menarik ini. Daripada sambutan yang diterima pada setiap pusingan, kami terpanggil untuk meneruskan penganjuran musim keduanya nanti.

Perancangan untuk itu sudah pun dilakukan dan ia akan bermula pada separuh kedua tahun ini. Kami sangat berterima kasih kepada semua penaja di atas sokongan mereka dan berharap akan dapat meneruskan kerjasama ini bagi musim kedua pula,” jelas Ravindran.

Google ads
Back to top button