300 JUTA KENDERAAN TOYOTA DIKELUARKAN SEJAK 1935, SIRI COROLLA PALING BANYAK!
Toyota semakin hebat kebelakangan ini dengan pelbagai model dilancarkan ke pasaran. Bukan sahaja untuk pengguna umum, Toyota tidak melupakan peminat kereta dan prestasi melalui siri GR.
Dari sekecil kereta mini (kei-car) hingga model mewah Century dan jika tidak berkenan, sejumlah model Lexus boleh dipilih termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) LM.
Senang kata, tidak kira segmen, Toyota mempunyai wakil bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelbagai jenis pengguna.
Selain kereta, Toyota juga menjual mutu dan ketahanan dan seterusnya membentuk pelanggan yang setia.
Tidak menghairankan apabila Toyota banyak mengungguli carta jualan sesebuah negara dan meletakkannya di kelompok teratas jualan dunia.
Dengan prestasi yang konsisten dari tahun ke tahun, berapa angka pengeluaran Toyota Motor Corporation?
Toyota baru sahaja mengumumkan pengeluaran global sudah mencecah 300 juta unit!
Angka itu dicapai selepas unit pertama lori G1 dikeluarkan Bahagian Pengeluaran Automotif, Toyoda Automatic Loom Works, Ltd. (sebelum ditukar kepada Toyota Industries Corporation) pada Ogos 1935.
Jumlah tersebut merangkumi 180.52 juta unit kenderaan dari Jepun dan 119.6 juta unit di luar negara (setakat penghujung 2023).
Dengan jumlah ratusan juta, Toyota sudah tentu menyumbang besar kepada ekonomi Jepun dan dunia secara amnya.
Model tertinggi ialah Corolla dengan pengeluaran siri Corolla mencecah 53.399 juta.
Corolla sebagai model bertuah Toyota juga membawa maksud korola iaitu kelopak di bahagian dalam lingkaran bunga.
Nama itu dipilih bagi membangkitkan imej kereta kompak yang direka dengan cantik dan menarik perhatian.
Corolla generasi pertama (E10) dikeluarkan pada November 1966 dan menariknya turut dipasang di negara kita.
Merentasi 12 generasi, Corolla dibuat dalam pelbagai gaya badan seperti sedan, hatchback, coupé, wagon dan juga model berprestasi Trueno dan kini diwarisi GR86 selain GR Corolla.
Corolla generasi ke-12 (E210) dikeluarkan sejak 2018 dan berdasarkan kitaran hayat produk bakal diganti baharu.
Dengan pencapaian ini Mekanika ingin mengucapkan tahniah kepada Toyota dan terima kasih kerana mengeluarkan pelbagai model hebat dan bermutu!
BACA: TRD PERFORMANCE PACKAGE UNTUK TOYOTA TUNDRA, DARI 389 HP KEPADA 421 HP!
BACA: TOYOTA SEDIA SIMULATOR UNTUK CUBA ISODYNAMIC PERFORMANCE SEAT, KERUSI DENGAN PENYERAP HENTAK!
BACA: TOYOTA FT-Se, KERETA SPORT ELEKTRIK TAMPIL GARANG DI TOKYO!
BACA: TOYOTA FJ BRUISER CONCEPT – APA SAHAJA BENTUK MUKA BUMI PUN TIADA MASALAH