
10 CIRI KERETA MODEN PALING TAK GUNA
Jika anda perasan, kereta zaman moden akan dipenuhi dengan pelbagai ciri moden bagi memenuhi keperluan keselamatan, kehendak pengguna dan peraturan pelepasan asap bagi mengurangkan pencemaran udara. Namun tak semua ciri yang diperkenalkan ini bagus untuk pengguna, malah ada beberapa ciri moden ini walaupun bagus atas kertas tapi sangat mengarut dalam dunia sebenar
Kami senaraikan beberapa ciri kenderaan zaman moden yang nampak bagus dan praktikal dari segi teori tapi sebenarnya menyusahkan pengguna
1. Ciri Start/Stop – ciri ini telah wujud semenjak dulu namun menjadi popular dalam dekad ini selepas pihak berkuasa memutuskan untuk memperketatkan peraturan pelepasan asap. Ciri ini akan mematikan enjin apabila ia mengesan kenderaan berada dalam keadaan statik, dan menghidupkan semula enjin apabila pdal brek dilepaskan
Namun pada masa yang sama akan menyebabkan pemampat penyaman udara dimatikan dan membiarkan hanya kipas penyaman udara sahaja dihidupkan, menjadikan suhu kabin bertambah panas jika dipandu sewaktu tengahari
Namun risiko yang paling tinggi ialah sekiranya enjin ini mati sewaktu kereta berhenti sekejap di persimpangan jalan yang sibuk atau di kawasan berbukit dan penghidup mengambil masa sedikit untuk menghidupkan enjin.
Sekiranya enjin dihidupkan dengan menggunakan motor elektrik yang besar seperti kereta hibrid, proses akan berlaku dengan lebih lancar. Namun proses menghidupkan semula enjin dengan motor starter adalah tidak lancar dan menyebabkan gegaran pada kabin walaupun enjin dipasang pada cagak enjin yang lebih kuat.
Walaupun tiada kajian teknikal menyeluruh, kekerapan proses menghidupkan dan mematikan enjin ini akan menyebabkan getah pada cagak enjin ini cepat rosak serta kos penggantian bateri untuk sistem Start/Stop ini juga lebih mahal berbanding bateri biasa
2. Lane Keep Assist – merupakan sebahagian daripada pakej sistem yang digunakan dalam sistem keselamatan aktif, berupaya mengelakkan pemandu mengantuk dan leka daripada terbabas masuk ke laluan yang bertentangan
Cuma kelemahan sistem ini ialah ia akan berbunyi apabila pemandu ingin memandu mengikut garisan perlumbaan, mengaktifkan sistem ini tanpa sengaja dan menyebabkan stering sistem dibetulkan ke laluan asal dan menjadi punca kemalangan jika pemandu mudah melatah
Pada kebanyakan masa penulis akan mematikan saja ciri keselamatan ini, dan kadangkala ia memerlukan 2 ke 3 langkah untuk mematikan ciri ini. Namun sebaik sahaja enjin dihidupkan, ciri ini akan diaktifkan secara automatik.
3. Tombol gear rotari – dipopularkan oleh beberapa jenama automotif yang mewah sebelum trend ini diikuti oleh kebanyakan jenama massa. Penggunaan gear butang rotari ini membenarkan tombol gear direka dengan lebih ringkas dan bergaya
Namun ia menyebabkan tombol gear gagal dioperasikan secara intuitif oleh tangan kiri dan menyebabkan anda meraba tombol gear dan bukannya memulas butang gear. Keadaan ini akan bertambah sukar sekiranya anda memandu dalam keadaan cemas atau tergesa-gesa
4. Suis Signal di roda stering – diperkenalkan oleh Tesla melalui kereta elektrik mereka yang terbaru iaitu Tesla Model 3 di mana butang lampu isyarat membelok dipasang pada roda stering dan bukannya pada suis signal konvensional yang terletak pada stering column.
Mungkin ciri ini kalau diperkenalkan di Eropah ia tidak akan menjadi isu yang besar tapi di Malaysia ia akan mengundang masalah besar. Bayangkan kalau suis lampu isyarat yang besar pada steering column pun tidak digunakan, apatah lagi suis isyarat membelok yang perlu ditekan pada stering
5. Pemasangan Lampu Kabus Belakang – Malaysia adalah negara yang pelik dimana kita mengambil peraturan jalan raya Eropah yang bersalji untuk digunakan di negara kita. Kalau paling teruk sekalipun kita akan mengalami hujan ribut pada waktu malam, di mana penggunaan lampu ini adalah sangat penting
Namun pada kebanyakan masa pengguna akan memasang atau secara tidak sengaja memasang lampu kabus ini sepanjang masa tanpa mengira keadaan menyebabkan pemandu di belakang menjadi silau. Sepatutnya lampu ini hanya boleh dinyalakan sekiranya suis lampu utama dan penggilap cermin dihidupkan secara serentak.
6. DRL LED Kedai Aksesori – kebanyakan DRL yang dipasang pada hari ini merupakan peralatan asal OEM yang dipasang oleh pengeluar, biasanya dipasang terus pada perumah lampu utama depan serta direka untuk mematuhi peraturan United Nation. Tapi yang menjadi masalah ialah apabila sesebuah model dihasilkan secara facelift.
Mungkin model sebelum facelift tidak memiliki ciri DRL, menyebabkan pengeluar perlu menambah ciri DRL pada mana-mana tempat yang sesuai dan asal siap sahaja. Sebagai contoh Hyundai Starex sebelum ini memasang DRL yang terang pada cermin sisi, satu rekaan yang cukup pelik ketika itu
Sesetengah model seperti Proton Saga dan Perodua Axia menggantikan lampu kabus depan dengan lampu DRL LED pada bampar depan. Pada pandangan penulis lampu kabus lebih bermanfaat sewaktu cuaca buruk berbanding dengan lampu DRL LED
7. Skrin Tapi Bukan Touch Screen- pada awalnya skrin direka untuk memudahkan pemandu menjadikan ruang papan pemuka lebih kemas dan senang untuk digunakan, jika pemandu tidak memandu. Tapi sekiranya mereka mulai memandu, touch screen menjadi satu gangguan yang teruk.
Bagi menyelesaikan masalah ini, sesetengah pengeluar menggunakan mouse pad atau skrin sesentuh yang diletakkan pada konsol tengah berhampiran tombol gear bagi memudahkan pemandu. Tapi keadaan ini kadangkala menyusahkan lagi dan menghilangkan fokus pemanduan
Apa salahnya kalau kita guna balik butang seperti dahulu?
8. Fungsi Tambahan Berada Dalam Skrin- skrin pada asalnya digunakan untuk memaparkan maklumat dan mengawal sistem audio tapi pada hari ini skrin telah menjadi salah satu medium atau medium bagi mengawal fungsi tambahan lain pada kenderaan
Bayangkan kesukaran jika anda perlu mengubah tetapan penyaman udara pada skrin sewaktu memandu? Bukankah ini boleh menjadi punca kemalangan? Bukan sahaja penyaman udara, malah fungsi tambahan lain turut ditanam dalam skrin multimedia
9. Bumbung Panaromic – ia adalah satu ciri yang digemari oleh pengguna di Eropah dan juga China, di mana cuaca bagi kedua dua tempat ini adalah sejuk dan bukannya panas sepanjang tahun. Kalau ada musim panas sekalipun, ia adalah sekejap sahaja
Berbeza dengan Malaysia, musim panas adalah sepanjang tahun dan penggunaan bumbung panaromic suria adalah kurang sesuai disebabkan cuaca panas sepanjang tahun. Anda boleh memasang penapis filem berkualiti, tapi ia akan mengganggu fungsi asal cermin panoramic iaitu untuk meihat langit seluas-luasnya.
10. Sistem ADAS Terlalu Sensitif – salah satu contoh sistem ADAS ialah sistem brek kecemasan atau singkatannya AEB dimana sistem ini akan menerima input daripada radar dan juga sistem kamera
Walaupun ciri AEB ini bagus sekiranya sensitif namun jika anda menggunakan sistem pemanduan automatik ACC di lebuhraya ia akan menyebabkan pemanduan menjadi kurang selesa. Bayangkan anda sedang memandu pada kelajuan 110km/jam dan tiba-tiba kenderaan di depan memasuki lorong anda menyebabkan kenderaan anda membrek kecemasan biarpun jarak kenderaan anda dengan kenderaan di hadapa masih lagi jauh
Keadaan ini menyebabkan pemanduan menjadi kurang selesa dan akhirnya anda akan mematikan ciri ini disebabkan anda sudah menyampah dan kurangnya keyakinan pada sistem
Ini adalah beberapa contoh di mana ciri moden pada kenderaan hari ini kadangkala menyusahkan lagi pemandu berbanding dengan tujuan asalnya iaitu untuk memudahkan pemandu.



