
TOYOTA SEDIA SIMULATOR UNTUK CUBA ISODYNAMIC PERFORMANCE SEAT, KERUSI DENGAN PENYERAP HENTAK!
Toyota Tacoma TRD Pro yang diperkenal pada Mei 2023 bukan sahaja tampil lasak dan sporti tetapi juga dilengkapi kerusi canggih IsoDynamic Performance Seat yang mempunyai penyerap hentak.
Sistem itu berfungsi untuk menstabilkan pandangan pemandu bagi meningkatkan tumpuan, keselesaan dan mengurangkan keletihan.
IsoDynamic Performance Seat menggunakan sistem penyerap hentak air-over-oil untuk membolehkan gerakan kerusi secara menegak dan melintang secara serentak.

Pergerakan tersebut meredam pergerakan badan dan menstabilkan kepala dan leher supaya sejajar dengan tulang belakang. Sistem itu boleh dilaras mengikut badan dan keperluan penumpang.
Bagi membolehkan pengguna merasainya tanpa terlebih dahulu membeli atau memandu uji Tacoma TRD Pro, Toyota telah menghasilkan permainan video TRD Pro Time Attack dan membawanya ke SEMA 2023.
Permainan itu direka syarikat perisian Toyota Connected North America (TCNA).

Ketua Reka Bentuk dan Inovasi TCNA, Eric Bursch, meluangkan masa bersama jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D) Toyota di Michigan bagi memahami bagaimana kerusi itu meredam permukaan yang tidak rata.
Dapatan tersebut turut dibandingkan dengan maklumat dari tapak ujian Toyota di Arizona bagi menyempurnakan simulator yang dibina.
Para jurutera R&D juga berkunjung ke TCNA di Texas bagi menentukur tahap gegaran yang dirasai dari sistem hidraulik simulator untuk menyamakannya di antara permainan video dan realiti.

Bahagian Immersive Experience TCNA menghasilkan litar lumba ala Baja berkelajuan tinggi dan bekerjasama dengan JBL untuk hasil audio yang berkualiti.
Kumpulan pembangunan tersebut terdiri daripada jurutera dan artis yang mempunyai pengalaman bekerja di dalam industri permainan video dan aplikasi telefon pintar.
Penerbit Eksekutif Teknikal TCNA, Allen Danklefsen sendiri mempunyai 18 tahun pengalaman dalam pembangunan permainan.

Tacoma TRD Pro secara standard dibekalkan enjin hibrid i-FORCE MAX yang menggabungkan enjin 2.4 liter dan motor elektrik 48 kuasa kuda (hp) serta pek bateri NiMH 1.87 kilowatt-jam (kWj).
Pakej itu menghasilkan 326 hp dan tork 630Nm dan dipadan bersama transmisi lapan kelajuan.
Diperkenal pada Mei, Toyota Tacoma TRD Pro akan mula dijual pada musim bunga 2024 (Mac – Jun).

BACA: TOYOTA FT-Se, KERETA SPORT ELEKTRIK TAMPIL GARANG DI TOKYO!
BACA: EV TOYOTA GUNA BATERI LG ENERGY, 2 SYARIKAT BEKERJASAMA UNTUK EV DI AS!

















