Artikel PilihanBuletin

5 ISTILAH JUAL BELI KENDERAAN TERPAKAI DAN RECOND YANG PATUT ANDA KETAHUI

Kenderaan terpakai sebenarnya turut membentuk eko sistem industri automotif dunia. Ia begitu penting kerana jika tiada yang mahu membeli atau mengimport kenderaan terpakai maka secara simplistiknya ialah kenderaan baharu juga akan tersekat di muka pintu kilang atau stor pusat pengedar.

Di Malaysia, industri ini adalah besar kerana kita tidak mengamalkan polisi pelupusan kenderaan. Selagi kenderaan itu boleh bergerak dan lulus pemeriksaan PUSPAKOM, selagi itu lah ia layak berada di atas jalan raya.

Selain itu, kenderaan yang diguna selama beberapa tahun pula boleh dijadikan modal untuk membayar wang muka kenderaan baharu. Asalkan nilai tukar beli lebih tinggi daripada baki pinjaman bank. Jika ada yang bertanya kenapa orang kita asyik sibuk-sibuk tentang nilai jualan semula atau resale value maka ini adalah salah satu dari jawapannya.

Memang pembelian kereta, sifatnya tidak sama seperti pembelian aset hartanah tetapi setiap sen susut nilai itu adalah hasil penat lelah kita dan tidak salah jika kita mahu kurangkan ‘kerugian’ tersebut.

Berbalik kepada tajuk artikel ini, mereka yang biasa ‘bersiar-siar’ dalam laman web jual beli kenderaan pasti biasa terserempak dengan beberapa istilah yang disingkatkan dan ada juga mengelirukan.

Untuk lebih jelas, di bawah ialah senarai perkataan yang lazim ditulis di ruang iklan kenderaan.

1. OTR – On the road

Istilah ini merujuk kepada harga di atas jalan. Sebagai contoh, Bugatti Veyron RM234K OTR. Maknanya harga tersebut sudah termasuk segala cukai, insurans dan sebagainya. Ia merujuk harga total dan tidak sepatutnya pembeli membayar lebih dari jumlah dinyatakan.

Jadi apabila membuat pertanyaan, jangan lupa tanyakan berapa HARGA ON THE ROAD. Kadang-kala nampak murah tetapi itu belum lagi harga di atas jalan.

2. FULL LOAN

Awas dengan terma ini. Ia belum muktamad selagi bank belum menentukan jumlah pinjaman yang hendak diberi. Jumlah itu pula sebenarnya bergantung kepada kekuatan kewangan seseorang. Lebih melucukan, ada yang mengiklankan FULL LOAN tetapi di bawah dinyatakan pula “LOW DOWN PAYMENT”

3. GST

Awas juga dengan nilai GST (Goods and Services Tax). Ada yang mengiklankan harga kereta tanpa memasukkan nilai GST berjumlah enam peratus. Memandangkan nilai kereta puluhan ribu ringgit, jumlah enam peratus itu bukan sedikit. Sebagai contoh, Toyota Vellfire bernilai RM200,000 + enam peratus GST =  RM212,000.00.

Sebelum ini Cukai Jualan (Salex Tax) bersamaan sepuluh peratus dan ia telah digantikan dengan GST. Cuma apabila GST terlaksana, jumlah itu perlu dinyatakan dalam resit dengan jelas.

4. FSR – Full Service Record

Ini juga sangat penting. Kerana sesebuah kenderaan direka mengikut had-had tertentu sebelum ia perlu diselenggara. Pusat jualan dan penjual yang baik akan menyimpan buku servis.

Kenapa ia penting?

Kerana disitulah segala rekod servis boleh dirujuk. Katalah kenderaan yang hendak dibeli sudah sampai ke perbatuan ke 100,000 km dan selepas itu servis major seperti penukaran talisawat perlu dilakukan. Jika pusat jualan ‘mengubah perbatuan’ ke 80,000 km, berkemungkinan perkara yang tidak sepatutnya akan berlaku.

Namun sebagai pengguna, anda perlu lebih bijak, abaikan sahaja perbatuan yang dipaparkan di meter. Anda boleh ke pusat servis jenama kenderaan yang dihajati dan semak melalui nombor pendaftaran. Di situ akan tertera segala rekod termasuk panggilan semula seperti inflator beg udara dan lain-lain.

5. RECOND – Kenderaan terpakai diimport dari negara luar

Kenderaan recond ini pada satu sisi adalah rahmat kepada pengguna. Ia membolehkan pengguna memiliki kenderaan pada harga lebih mampu milik memandangkan ia sudah pun terpakai di negara asal selain tiada kos besar-besar yang ditanggung oleh pengedar OEM.

Namun terdapat beberapa istilah terutama sekali spesifikasi yang menjadikan sebuah model yang sama tetapi harga berbeza-beza. Perbezaan harga itu adalah disebabkan varian. Sebagai contoh, model Mercedes-AMG mempunyai nilai sekali ganda berbanding Mercedes-Benz standard yang hadir dengan nilai dan spesifikasi berbeza.

Untuk MPV pula ia dibezakan melalui beberapa spesifikasi utama seperti jenis kerusi dan balutannya, sistem multimedia, kit badan dan edisi seperti ulangtahun.

Untuk lebih kefahaman, di bawah ialah beberapa pecahan terma kenderaan recond:

  • PD – Power door atau pintu berkuasa/automatik untuk MPV seperti Toyota Vellfire, Aplhard, Honda Odyssey dan sebagainya
  • PB – Power boot atau pintu but belakang berkuasa/automatik untuk MPV dan SUV
  • FL – Facelifit, model rupa baharu atau versi baharu – terma universal untuk kesemua kenderaan OEM
  • UNREG – Kenderaan yang belum didaftarkan dengan JPJ
  • Year of Manufacture (YoM) – Tahun dibuat atau dikilangkan – penting
  • Year of Register (YoR) – Tahun didaftarkan dengan JPJ – penting
  • YoM dan YoR ini penting kerana usia kenderaan bukan dikira dari tarikh pendaftaran tetapi tahun dibuat. Kebiasaannya ia disingkatkan kepada 2012/2014. Dibuat pada tahun 2012, didaftar pada 2014

Dengan senarai terma-terma utama dalam urusan jual beli kenderaan terpakai ini kami harap ia bermanfaat untuk anda dan yakin apabila berurusan dengan pihak berkenaan.

Selain itu, kami juga mengharapkan supaya terma-terma rasmi dapat diwujudkan, diselaraskan serta digazetkan sebagai ayat standard dan diselia oleh pihak yang mempunyai kepentingan bagi menjamin hak pengguna serta menepati definisi negara maju yang bakal menjelma tiga tahun lagi.

Lagi artikel menarik untuk dibaca dan dikongsi:

SENARAI KERETA YANG BERBALOI DIBELI – HARGANYA MELONJAK SETIAP TAHUN

BERMINAT NAK BELI? YAMAHA TZR250 1KT RECOND!

HONDA MALAYSIA GANTI BEG UDARA KERETA RECOND SECARA PERCUMA

Google ads
Back to top button