Iklan Pilihan

KENAPA HARGA KERETA RECOND TAK SAMA?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang industri kereta recon di Malaysia ini.

Industri jualan kereta di Malaysia ini terbahagi kepada 3 iaitu kereta baharu, recon dan kereta terpakai. Topik kali ini saya hanya fokus terhadap industri kereta recon.

Umum mengetahui bahawa kereta recon merupakan kereta import terpakai yang dibawa masuk ke Malaysia melalui pengedar-pengedar bebas. Kereta yang dibawa masuk dan dijual ini juga merupakan unit yang belum berdaftar.

Antara kebimbangan orang ramai terhadap kereta recon ini adalah kualiti kereta itu sendiri.

Kenapa ?

Hal ini kerana ada di antara pengedar yang membawa masuk kereta yang mengalami kemalangan ketika di negara asal dan kemudiannya dibaiki disini kemudiannya dijual.

Perkara ini bukannya baru sebenarnya dan modus operandi pengedar-pengedar sebegini rupa telah didedahkan oleh media. Sekarang juga wujudnya aplikasi yang membolehkan bakal pembeli untuk melihat kondisi kereta yang mereka beli ketika di negara asal.

TETAPI,

Tidak semua kereta recon mempunyai rekod. Hal ini kerana tidak semua kereta recon di Malaysia ini dibeli di negara asal melalui acara lelongan (Auction).

Ada juga pengedar yang membeli kereta di kedai dan juga secara terus daripada pemilik sebelum dibawa masuk ke Malaysia. Ada juga pengedar yang membeli kereta baru di negara asal dan mengimport masuk kereta tersebut selepas setahun. Ada bermacam-macam cara sebenarnya. Cuma secara majoritinya memang melalui acara lelongan.

Sekarang kita pergi kepada harga.

Kenapa harga kereta recon ini berbeza-beza sedangkan spesifikasi serta cirinya hampir semuanya sama ?

Hal ini bersangkut-paut dengan kualiti serta cara kereta itu dibeli di negara asal. Seperti yang saya nyatakan diatas, ada pengedar yang membawa masuk kereta yang sudah mengalami kemalangan dan kemudiannya dibaiki di negara kita. Sekarang dah nampak bayang bukan kenapa harga berbeza ?

Bukan itu sahaja, kereta yang tidak melalui acara lelongan juga harganya lebih tinggi daripada kereta yang dilelong. Dah namanya pun lelong, kalau mahal baik beli secara terus bukan ?

Kenapa tak melalui acara lelong ?

Ini kerana tidak semua pengedar yang suka dengan “Murah”. Ada pengedar yang mementingkan kualiti demi menjaga nama serta integriti syarikat mereka. Mereka mahu dikenali sebagai pengedar yang membawa masuk kereta bergred tinggi.

Tapi di Jepun/UK murah kenapa di Malaysia jadi mahal ?

Mudah. Harga yang anda nampak di Jepun dan UK itu adalah harga ketika kereta berada di sana. Untuk membawa masuk kenderaan, kerajaan mengenakan duti serta cukai yang tinggi.

Belum masuk kos pengangkutan. Belum masuk kos AP. Kalau AP beli ? Harganya akan jadi berganda. Banyak kos-kos tersembunyi sebenarnya. Cuma saya tidak mahu ulas tentang penjualan/pembelian AP di sini. Cukuplah saya beritahu yang AP hanya diberi kepada bumiputera sahaja.

Kita pergi pula kepada servis.

Kenapa dengan servis ini ? Ada pengedar yang memberikan servis yang baik dan tidak kurang juga ada yang memberikan servis teruk.

Sebagai contoh, anda membeli kereta recon, kemudian anda dapati kualiti kereta anda teruk. Anda cuba berhubung dengan mereka dan pelbagai alasan diberi tanpa mengambil sebarang tanggungjawab. Pada awalnya berjanji bulan bintang termasuklah dengan menyatakan kadar faedah bank yang rendah. Hujung-hujung semuanya kelaut. Ini contoh servis teruk.

Senario kedua pula, anda membeli kereta recon, kereta anda didatangkan dengan jaminan. Pihak pengedar juga memberi anda layanan berkelas tinggi kepada anda. Bukan itu sahaja, jika sesuatu berlaku juga pihak pengedar akan membantu anda untuk menyelesaikan masalah berbangkit dan bukannya lepas tangan.

Daripada 2 senario ini, dapat kita simpulkan bahawa harga sesebuah kereta recon itu bergantung kepada kualiti serta servis yang ditawarkan.

Kereta gred 5/6 tapi harga nak macam gred R. Jaminan nak sampai 5 tahun. Sangat tidak munasabah. “Cheapskate” orang putih kata.

Ada pula kes di mana sesebuah kereta itu ditawarkan dengan harga yang tidak munasabah. Sebagai contoh Toyota Vellfire ZG Full Spec tahun 2018 ditawarkan pada harga RM260,000. Sedangkan harga pasaran pada ketika ini sekitar RM320,000. Semestinya ada perkara pelik yang terselindung. Tidak salah untuk kita bersikap husnudzon, namun pada masa yang sama kita mestilah berhati-hati.

Kereta bergred tinggi dan servis yang terbaik datang bersama pakej harga yang berpatutan. Tidak dinafikan ada juga yang meletakkan harga terlalu tinggi bagi sesebuah kereta itu, oleh itu jadilah pengguna bijak dengan merujuk kepada yang pakar.

Ada juga yang memilih untuk mendapatkan harga di bawah harga pasaran. Akhirnya kereta yang dibeli mengalami kerosakan. Pihak pengedar tidak bertanggungjawab. Pembeli terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membaikpulih kereta “baru” mereka. Namun, inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kereta yang “Murah”.

Mungkin ada yang skeptikal terhadap kereta recon. Pada pandangan mereka, dengan harga ratusan ribu ringgit hingga ke jutaan ringgit adalah lebih baik beli kereta baharu.

Tidak salah pandangan sebegini, cuma pada hemat saya, tanpa industri kereta recon tidak mungkin anda akan melihat Nissan GTR, Toyota Vellfire/Alphard serta banyak lagi model kereta di atas jalan. Nak harapkan Tan Chong bawa masuk Nissan GTR, di Thailand saja harga bermula RM1.5 Juta, mampu ?

Jadi setiap industri tidak kira kereta baharu, recon dan juga terpakai saling memerlukan. Apa yang penting adalah kerjasama serta pemahaman daripada pihak penjual dan pembeli.

Jadi Tuan-Tuan, harapnya selepas ini jelas mengapa harga kereta recon tidak sama di setiap tempat.

Google ads
Back to top button