5 MPV SAIZ PENUH YANG ANDA BOLEH MILIKI DENGAN RM50,000 – PILIHAN MEKANIKA
RM50,000 mungkin angka yang kecil pada sesetengah orang. Namun bagi keluarga yang memerlukan sebuah MPV tujuh kerusi bersaiz penuh, tidak ada MPV BARU yang berada dalam braket harga ini. MPV bersaiz penuh paling hampir yang boleh dimiliki ialah Proton Exora, namun barisan ketiganya tetap tidak cukup selesa untuk penumpang dewasa bagi perjalanan jauh.
Apa yang boleh dibeli dengan bajet lingkungan RM50,000 untuk sebuah MPV baru?
Perodua Alza dan Proton Ertiga. Namun kami percaya, bagi kategori pembeli yang ingin memiliki MPV saiz penuh, kebanyakannya sudah pernah memiliki MPV bersaiz kecil seperti Alza, Livina, BR-V, Avanza dan sewaktu dengannya.
Masalah yang biasa dihadapi ialah – saiz.
MPV kompak sebenarnya tidak lebih dari gimik tujuh kerusi. Jika kesemua kerusi digunakan, ruang kargo menjadi sangat kecil.
Di sini kami senaraikan pilihan MPV yang boleh dimiliki pada bajet sekitar RM50,000. Sudah tentu, ia dalam versi terpakai dan seperti lazimnya, mencari kenderaan terpakai memerlukan ketelitian supaya tidak mendatangkan beban di kemudian hari.
Namun memandangkan MPV ini adalah besar, tujuan utamanya adalah membawa penumpang dan sebaiknya, anda sudah ada kereta harian yang lebih kecil dan ekonomikal.
Berikut adalah senarai pilihan kami.
1. HONDA ODYSSEY RB1
RB1 adalah Odyssey pertama yang direka dengan bumbung rendah. Tidak seperti Odyssey RA6 yang digantikannya lebih besar dan tinggi, RB1 direka lebih kepada rekabentuk super wagon. Kerusi barisan ketiganya tidak terlalu besar tetapi masih selesa untuk penumpang dewasa.
Peminat RB1 lazimnya terdiri daripada golongan yang berjiwa muda. Dengan RB1, anda boleh main kereta lagi. Boleh pasang bodykit dan tukar rim aloi lebih besar.
Untuk RM50,000. Ada beberapa pilihan tetapi kedua-dua model biasa dan Absolute menggunakan enjin yang sama- K24. Cuma model biasa menggunakan transmisi CVT dan Absolute dengan kotak gear automatik 5 kelajuan.
Bagaimanapun, enjin K24 pada Absolute ditala lebih berkuasa dengan 200hp.
PRO – Rekabentuk paling sporty di kalangan MPV tujuh tempat duduk saiz penuh. Pengendaliannya mirip sebuah kereta,
KONTRA – Agak sempit kalau dibandingkan dengan Estima atau Grandis. Harganya adalah harga terpakai Honda – agak keras.
2. MITSUBISHI GRANDIS
Ia dikeluarkan pada tahun 2003 hingga 2011. Walaupun nampak kecik dari luar, sebenarnya, ruang dalaman Grandis agak bagus. Ia sedikit kecil dari Estima, tetapi lebih besar dari Odyssey RB1.
Grandis menggunakan enjin 2.4 liter yang sama di sepanjang pengeluarannya. Cuma model awal, (2003 – 2005) datang dari versi import terpakai (recond). Mitsubishi Malaysia hanya melancarkan Grandis secara rasmi pada 2005. Penambahbaikan dilakukan pada 2007 dan 2009.
Perubahan paling besar ialah pada model 2009-2011 dan menerusi semakan kami, harganya sudah berada pada paras RM50,000.
Model facelift ini didatangkan dengan sistem kemasukan tanpa kunci (tapi enjin masih perlu dihidupkan dengan tombol pulas).
Ia juga datang dengan sistem audio 2DIN DVD, monitor bumbung, kerusi bersalut kulit dan ia ada tailgate berkuasa elektrik. Pada 2009, untuk sebuah MPV berharga RM160K, ciri-ciri ini boleh dianggap sangat canggih berbanding harga jualannya.
PRO – Paling “muda” di kalangan MPV pilihan kami dan boleh dianggap paling baru. Grandis tiada gantian lagi setakat ini. Grandis juga masih ditawarkan oleh pinjaman bank.
KONTRA – Enjinnya agak “kasar”, suspensinya sedikit keras berbanding Estima dan ruang letak barang di belakang agak kecil berbanding Estima tetapi lebih besar dari Odyssey RB1.
3. TOYOTA ESTIMA ACR50
Ini MPV yang popular dan seperti model-model Toyota lain, harganya payah betul nak jatuh dalam margin yang banyak. Begitupun model pertama Toyota Estima ACR50 (2006) sudah boleh dimiliki pada harga sekitar RM50,000.
Lazimnya, model 3.5 V6 lebih murah berbanding 2.4L (kerana harga cukai jalan).
Kelebihan model ini ialah ia masih lagi model yang sama dikeluarkan pada 2018. Toyota Estima sudah melalui tiga facelift besar iaitu pada 2009, 2012 dan 2016 dan ketiga-tiganya berubah secara total pada bahagian lampu hadapan.
Secara teknikalnya, jika anda membeli model pertama 2006, ia boleh “disalin” pada model 2016 kerana, kerangka dan platform Estima ini adalah sama.
Kelebihan utama Estima ialah ruang bagasi paling luas dalam senarai MPV kami. Ini kerana posisi tayar gantinya adalah pada bahagian lantai tengah. Ruang bagasi belakang merupakan “longkang” yang menyimpan kerusi barisan ketiga sepenuhnya menjadikan lantai belakang rata.
Ia adalah konfigurasi yang bijak dan menjadikan ruang kargo Estima lebih besar dari Alphard/Vellfire.
BACA: PENING NAK PILIH MPV?
PRO – Sliding Door. Bagi sebuah MPV bersaiz penuh, rekaan pintu gelangsar adalah pilihan terbaik. Selain itu, Estima adalah sebuah Toyota, dan model 2.4 paling senang di jaga. Alatgantinya banyak dan ia berkongsi banyak peralatan gantian dengan Camry, Harrier dan Alphard/Vellfire. Ruang bagasi besar.
KONTRA – Harga terpakainya agak tinggi kalau dibandingkan dengan Grandis dan Elysion. Pada perbatuan tinggi yang tertentu, terdapat masalah shaft pengimbang (balancer shaft) dan rak stering (stering rack)
Namun alatganti mudah diperolehi. Selepas diperbaiki, lazimnya ia boleh bertahan sekurang-kurangnya lima tahun lagi.
4. TOYOTA ALPHARD
Ini adalah yang paling besar di kalangan MPV dalam senarai kami. Kami memilih Alphard ANH10 ini berbanding Nissan Elgrand E51 atas faktor realibiliti.
Ia ditawarkan dalam dua pilihan enjin. 2.4 dan 3.0 V6 dan diperkenalkan pada 2002 hingga 2007.
Posisi memandu Alphard lebih mirip kepada minivan namun bagi mereka yang berusia seperti Abang Japar, ia adalah satu kelebihan. Anda dapat sudut pandang yang jelas merentasi bumbung kereta lain di hadapan.
BACA: KLON ALPHARD DARI CHINA
PRO – Sliding Door. Saiz. Dengan Alphard tiada lagi masalah anak-anak bergaduh tak cukup ruang. Mereka boleh main badminton dan ruang beg boleh mengangkut TV beg, pinggan mangkuk isteri anda dan juga seguni keropok keping bila balik kampung di Terengganu.
KONTRA – Perbandingan model bagi tahun yang sama menunjukkan Elgrand lebih murah. Dari segi rekabentuk, Elgrand lebih segak sebenarnya berbanding Alphard yang lebih nampak rupa peti sejuk tumbang yang diletakkan roda.
5. HONDA ELYSION
Ini mungkin MPV yang tak ramai orang ingat untuk mencarinya.
Elysion diperkenalkan pada 2004 hingga 2013 dengan tiga pilihan enjin. 2.4L, 3.0L V6 dan 3.5L V6. Majoriti yang ada di pasaran hari ini ialah dari model recond.
Sebenarnya, pada 2008, USF-Hicom pernah membawa masuk model ini secara rasmi namun sambutannya agak sendu.
BACA: MPV BESAR MAMPU MILIK – HONDA LAGREAT
Walaupun direka untuk menyaingi Alphard dan Elgrand, namun ruang dalaman Elysion lebih kecil. Ia bagaimanapun lebih luas dari Estima.
PRO – Sliding Door. Ruang luas. Harganya berpatutan berdasarkan tahun dibuat berbanding model lain dalam senarai kami.
KONTRA – Ia kurang popular dan alatganti tidak semudah mencari parts Odyssey. Alatganti enjin lazimnya tiada masalah, namun peralatan seperti cermin tingkap, side mirror, corong aircond memerlukan lebih usaha, melainkan dibeli baru. Lain-lain peralatan seperti penyerapentak, pad brek dan komponen enjin banyak yang berkongsi dengan Odyssey dan Accord.
MPV PILIHAN LAIN
Dalam konteks MPV saiz penuh, masih ada beberapa pilihan yang tak termasuk dalam senarai kami. Antaranya ialah Hyundai Starex, Mazda 8, Mercedes R350, Nissan Serena, Honda Stepwgn dan Toyota Voxy.
Semuanya berada dalam lingkungan harga yang dimaksudkan. Namun atas sebab-sebab tertentu, lima MPV yang kami ulas di atas mendahului senarai pilihan utama.
Ini akan kami bincangkan dalam tajuk lain nanti. Termasuklah beberapa model MPV “aneh” yang jarang dilihat seperti Toyota Granvia, Ipsum, Nissan Presage dan Subaru Exiga.