" "
Buletin

ANGGOTA POLIS CEDERA, KHEMAH RUNTUH DI SJR TOL DUTA

Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur cedera di bahagian kepala selepas khemah sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) runtuh dilanda hujan lebat di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur, petang semalam.

Mangsa, Koperal Nazmi Abdullah yang berjaya diselamatkan oleh rakan-rakannya kemudian telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata ketika kejadian anggota polis berkenaan sedang berteduh di dalam khemah yang didirikan di laluan menghala masuk ke pusat bandar bagi kemudahan anggota keselamatan melaksanakan sekatan jalan raya di lokasi itu.

Menurutnya, hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan bahagian bumbung khemah itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap anggota polis itu mengakibatkan beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira 6 petang.

“Anggota berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan,” katanya. – Bernama/FB PDRM

Google ads
Back to top button