
NISSAN KICKS e-POWER DISERAHKAN KEPADA PDRM UNTUK PENILAIAN OPERASI
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) menyerahkan dua unit Nissan KICKS e-POWER kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalani program penilaian Proof of Concept (PoC) selama dua bulan.
Sepanjang tempoh itu, kedua-dua kenderaan akan digunakan dalam tugasan rondaan sebenar bagi menilai prestasi, kecekapan, aspek praktikal serta kesesuaiannya sebagai kenderaan operasi barisan hadapan. Program berkenaan dijalankan tanpa sebarang komitmen pembelian.
Menurut Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis Redzuan Abd Hamid, penilaian dalam persekitaran operasi sebenar penting bagi memastikan sesuatu teknologi baharu benar-benar mampu memenuhi keperluan pasukan.

Katanya, hasil program itu akan membantu PDRM mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang paling sesuai untuk menyokong operasi harian anggotanya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif ETCM, Christopher Tan berkata, Nissan e-POWER dibangunkan bagi menawarkan pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik (EV) tanpa memerlukan pengecasan luaran.
Beliau berkata, menerusi program tersebut, pihaknya berharap dapat membuktikan kemampuan Nissan KICKS e-POWER dalam memenuhi keperluan pelbagai jenis armada, termasuk untuk kegunaan perkhidmatan barisan hadapan.

Nissan KICKS e-POWER menggunakan sistem e-POWER yang memacu kenderaan sepenuhnya melalui motor elektrik, sekali gus memberikan pecutan segera dan penghantaran kuasa yang lebih responsif.
Berbeza dengan sistem hibrid biasa, enjin petrol model ini tidak memacu roda, sebaliknya berfungsi sebagai penjana untuk menghasilkan tenaga elektrik bagi mengecas bateri.
Pendekatan itu membolehkan pengguna menikmati pengalaman pemanduan ala EV tanpa bergantung kepada kemudahan pengecasan, selain masih boleh mengisi bahan api seperti kenderaan konvensional.







