Motosikal

WMOTO V16. CRUISER 250CC, 19HP, CUMA RM16K

Berita baik untuk peminat jentera cruiser. Ini kerana MForce Bike Holdings (MForce) baru sahaja melancarkan model WMoto V16 ke pasaran tempatan.

Untuk makluman, MForce Bike merupakan pengedar dan pengeluar tunggal WMoto di Malaysia. Sebelum ini, WMoto sudah pun menawarkan dua motosikal kapcai iaitu VE110 dan WM110 dan sebuah model klasik, Cub Classic.

V16 ditawarkan bagi memenuhi citarasa peminat-peminat motosikal klasik dengan rekaan model Amerika.

Jentera tersebut digerakkan oleh enjin 4 lejang bersesaran 249cc yang mampu menjana kuasa 19hp pada 8,000rpm dan tork 19Nm pada 6,000rpm.

Enjin silinder V-berkembar 60 darjah itu juga menghasilkan bunyi deruman mengujakan dan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Dengan kapasiti tangki 14 liter, cruiser itu boleh bergerak sejauh lebih 300km tanpa sebarang masalah.

Antara ciri-ciri istimewa yang ada pada motorsikal klasik ini ialah ekzos berkembar lurus dengan kemasan krom dan peredam bunyi. Ia nyata menyerlahkan lagi rekaan eksklusif V16.

Berbeza dengan cruiser lain yang boleh mencecah berat 400kg, V16 yang hanya seberat 165kg sahaja untuk memberi pengalaman pengendalian lebih mudah.

V16 dilengkapi sistem penyerap hentak roda belakang yang boleh dilaras mengikut kesesuaian. Pelana lembut dengan ketinggian cuma 700mm menjanjikan tunggangan yang selesa dan mengujakan.

Sebagai sebuah cruiser moden, V16 dipasang dengan  lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Berminat? V16 boleh anda miliki pada harga mampu milik iaitu RM15,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). WMoto V16 akan berada di premis pengedar WMoto di seluruh Malaysia bermula 12 November 2020.

Pembeli juga akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike.

GALERI

Google ads
Back to top button