" "
Artikel Pilihan

AUDI RS3 SEDAN – MENGGODA SANGAT NI

Anda seorang yang pemuda yang sudah berkeluarga dan sedikit kaya serta menjawat jawatan yang agak besar di pejabat. Di saat rakan seangkatan anda (dibaca: Melayu) lebih gemar memilih jenama BMW dan Mercedes, anda pula mahukan kelainan. Maka Audi RS3 Sedan yang baharu ini barangkali cukup sesuai untuk dipertimbangkan sebagai bayaran ansurann bulannya.

Jikalau penampilan model keluaran sebelumnya pun sudah kelihatan cukup garang, penampilan model gantian yang serba baharu ini juga lebih mengancam dan menggoda. Rekaan bampar yang agresif serta gril honeycomb menempatkan logo Audi yang berwarna hitam kelihatan terlalu garang. Dan jikalau diperhatikan dengan teliti, sebenarnya ruangan arca roda di bahagian hadapan dan belakang telah dikembangkan sedikit.

Kegarangan model RS3 ini diteruskan lagi terhadap rekaan di bahagian belakang. Jelas sekali di sebalik bampar belakang yang kelihatan agak ekstrem itu tersedia sistem ekzos sport daripada RS serta tip berkembar. Dan bunyinya, cukup untuk memberitahu kawan kawan dan juga lawan bahawasanya kereta sedan ini bukanlah calang – calang.

Trenkuasa untuk menggerakkan RS3 ini telah diserahkan kepada enjin 2.5 liter TSFI yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 400 PS dan juga 500 Nm. Cukup berkuasa. Jadi, untuk memecut dari titik pegun ke angka 100 km/j hanya memerlukan 3.8 saat sahaja dengan kelajuan maksimum mampu mencecah sehingga 290 km/j.

Menariknya, RS3 ini merupakan model Audi pertama yang menerima RS Torque Splitter yang akan berfungsi dengan cara mengedarkan kuasa tujahan diantara roda belakang secara berubah sepenuhnya. Dan hasilnya RS3 ini berjaya menerima penambahan 20 Nm berbanding model sebelumnya.

Sebagai sebuah kereta sports, sistem ampaian model ini turut menggunapakai sistem ampaian daripada RS yang serba baharu. Walau pun kelihatan rendah, tetapi ianya tidaklah melantun serupa potong spring kaedahnya apabila memandu laju. Dan kereta ini masih lagi kelihatan rendah walaupun ianya menggunakan rim bersaiz 19 inci yang dipadankan dengan tayar mahal Pirelli Trofeo R.

Manakala bahagian kabin RS3 ini turut kelihatan cukup sporty. Panel instrumental menggunakan karbon fiber sebagai asas disamping tempat duduk sporty dengan embos logo RS yang dibalut upholsteri mewah. Stereng juga menampilkan rekaan yang sporty tetapi tidak lekang dengan pelbagai fungsi serta disulam juga dengan logo RS. RS Monitor di bahagian hadapan pemandu bersaiz 10 inci pula berfungsi untuk memaparkan multi info seperti suhu enjin dan juga kadar tekanan angin tayar.

Audi RS3 Sedan ini telah boleh ditempah pada harga 62,000 Euro (RM307,034). Sebenarnya kebanyakan model Audi seringkali terlepas pandang oleh segelintir masyarat di rantau ini. Bani mereka lebih menggemari BMW yang cukup sajak untuk dijadikan sebagai modal MLM. Tapi baguslah. Setidaknya maruah Audi ini tidak tercemar dengan perangai dan kelaku mereka.

BACA : AUDI RS3 SEDAN – POWER TAK INGAT

BACA : VARIAN BAHARU AUDI A4 DIPERKENALKAN – BERMULA RM218,900

Google ads

B K

Back to top button