
YAMAHA DAN MAVERICK VINALES SETUJU TAMATKAN KERJASAMA BERKUAT KUASA SERTA-MERTA
Yamaha dan Maverick Viñales mengumumkan bahawa kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menamatkan kerjasama mereka berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan kepada laporan terdahulu, Yamaha dan Vinales sepatutnya menamatkan kontrak 2 tahun (2021-2022) pada penghujung musim ini. Pengumuman itu dibuat selepas GP Belanda pada 28 Jun 2021.
Namun, hubungan mereka kembali keruh selepas Yamaha menggantung Vinales daripada berlumba pada GP Stryrian dua minggu lalu. Tindakan itu diambil kerana Yamaha mendakwa gaya tunggangan Vinales boleh menyebabkan jentera MotoGP Yamaha itu rosak.
Vinales dilihat cuba untuk menjernihkan keadaan apabila mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka.
“Malangnya, perlumbaan di litar Sytrian tidak berlangsung dengan baik. Selepas membuat penelitian mendalam, adalah lebih baik buat kedua-dua belah pihak untuk menamatkan kerjasama ini lebih awal. Ia akan membolehkan pelumba untuk memikirkan masa depan mereka.
“Pasukan pula boleh fokus ke atas baki perlumbaan dengan seorang pelumba gantian yang akan diumumkan kelak,” kata Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis.
Vinales mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan oleh Yamaha selama 4 tahun setengah. Pelumba Sepanyol itu dijangka meneruskan kerjaya di MotoGP dengan pasukan Aprilia bermula musim hadapan.