Buletin

AUDI RS3 BAHARU – NAK PANDU KE PEJABAT OK. NAK PANDU KE TREK PUN OK JUGA

Anda adalah seorang yang muda serta memiliki jiwa kelajuan. Anda memerlukan sebuah kereta yang cukup laju dan cepat untuk tiba di pejabat, serta sesekali untuk melayan selekoh di trek. Nah inilah dia jawapan sebenar, Audi RS3 baharu untuk anda miliki.

Melihatkan rupa luaran sememangnya mudah untuk diakui ianya kelihatan cukup garang. Mudah untuk mengagak bahawa ini bukanlah biasa – biasa. Rekaan bampar baharu berserta gril honeycomb telah dipadankan pada bahagian hadapan yang lengkap dengan aliran udara yang besar menyerlahkan rupa model ini.

Menyerlahkan penampilan luaran apabila ianya kini dilengkapi dengan rim bersaiz 19 inci rekaan 10-Y batang berwarna gelap. Dan tayar berprestasi Pirelli P Zero “Trofeo R” semi slick kini menyarungi rim yang ringan ini. Barulah betul garang.

Sudah terang lagi bersuluh, asal usul kelahiran model ini adalah daripada generasi terkini model Audi RS3 Sportback dan juga Audi RS3 Sedan. Audi RS3 baharu ini cukup sesuai untuk pemanduan harian mahupun pemanduan di litar lumba.

Dari titik pegun ke angka 100 km/j, hanya 3.8 saat sahaja diperlukan. Manakala kelajuan maksimum model kompak hatchback ini mampu mencecah sehingga 290 km/j. Cukup laju. Dipadankan pula dengan RS Torque Splitter, tayar semi slicks serta mode pemanduan RS, sudah tentu ianya mampu menawarkan pemanduan yang cukup dinamik. Audi RS3 ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 294 kW (400 PS) dengan tork 500 Nm. Fuh, bukan main – main kuasa dia.

Terima kasih kepada enjin yang berprestasi tinggi 2.5 TFSI. Enjin ini pernah memenangi anugerah “International Engine of the Year” selama sembilan kali berturut – turut. Sebuah unit kawalan enjin yang baharu turut dipadankan bagi mengekstrak kuasa maksimum enjin ini. Enjin berkuasa ini kemudiannya turut dipadankan dengan kotak gear dual-klac tujuh kelajuan dengan ratio yang lebih sporty.

Paling menarik adalah model baharu Audi RS3 ini adalah model pertama daripada Audi yang dilengkapi dengan torque splitter. Ini akan memastikan jumlah pengagihan tork secara optimum di bahagian gandar belakang.

Sebagai sebuah model berprestasi tinggi, Audi RS3 ini sistem ampaian sporty daripada RS bagi memastikan kereta yang buas ini mampu memberikan tindakbalas yang lebih jitu dalam apa jua situasi dan lebih cepat keluar daripada selekoh. Bahagian kabinnya pula menggabungkan ciri mewah dan juga sebuah model kereta lumba. Kira ngam sangatlah untuk pemanduan harian atau pun nak layan trek di hujung minggu. Padu ni oi!

BACA : AUDI RS3 SEDAN – MENGGODA SANGAT NI

BACA : AUDI RS3 SEDAN – POWER TAK INGAT

Google ads

B K

Back to top button