Buletin

AUDI RS3 SEDAN – POWER TAK INGAT

Audi mendedahkan model paling dinamik dalam rangkaian A3 menerusi Audi RS 3 sedan pada acara Paris Motor Show 2016.

Tumpuan semestinya terarah kepada enjin baharu 2.5 TFSI yang 26kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu. Ia didakwa mampu menghasilkan kuasa maksimum 400hp dan tork 480Nm!

Audi RS 3 Sedan

Kuasa itu boleh diperoleh pada putaran enjin1,700 hingga 5,850rpm. Sekali gus menjadikannya enjin lima silinder paling berkuasa di dunia.

Jentera itu mampu mencatat kelajuan dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 4.1 saat dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250km/j. Lebih menarik lagi, Audi boleh meningkatkan kelajuan itu kepada 280jm/j, bergantung kepada permintaan pelanggan.

Audi RS 3 Sedan

Dibina di Hungary, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan S tronic. Kuasa kemudian disalurkan ke roda menerusi pacuan empat roda sepenuh masa quattro yang menjanjikan kualiti pemanduan dinamik.

Kemantapan pemanduan ditambah dengan ciri Electronic Stabilization Control (ESC). Bukan itu sahaja, ESC yang ditala khas untuk jentera RS hadir dengan mode sport untuk aksi drift yang terkawal. Ia juga boleh dinyahaktifkan sepenuhnya jika pemandu yakin dengan kemahiran drift mereka.

Ausi-RS3-sedan-2016-mekanika (4)

Pengalaman memandu Audi RS3 Sedan ditingkatkan lagi menerusi bunyi enjin yang unik dan boleh dikawal melalui ciri Audi drive select.

Tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera bersaiz 370mm dengan lapan omboh  angkup. Audi turut ada menawarkan cakera seramik gentian karbon bersaiz 310mm sebagai opsyen. RS 3 sedan kemudian dipasang dengan rim 19 inci yang nampak cukup ringkas.

Audi RS 3 Sedan

Penampilan luaran RS 3 sedan jelas sangat sporty dengan gril honeycomb tiga dimensi Singleframe yang dilekat logo quattro pada bahagian bawahnya. Lampu utama jenis LED melengkapkan wajah hadapan sedan yang 20mm lebih lebar berbanding A3 standard.

Audi menawarkan warna kelabu (Nardo gray ) dan merah ini secara eksklusif untuk RS 3 sedan.

Audi RS 3 Sedan

Pemandu dan penumpang disambut dengan ruang kabin bertona hitam. Tempat duduknya dibalut kulit Nappa dengan logo RS pada penyandarnya.

Fungsi kenderaan dikawal melalui butang rotari pada konsol tengah. Sementara pada papan pemuka dipasang dengan skrin sentuh untuk sistem multimedia dan infotainmen MMI. Pemandu juga pasti menghargai kualiti sistem bunyi dengan 14 unit pembesar suara daripada Bang & Olufsen.

Dipasarkan di bawah label Audi Sport, RS 3 sedan dijangka mula dijual di pasaran China dan Amerika Syarikat pada musim luruh tahun depan.

Google ads
Back to top button