Buletin

BARTEK OSTALOWSKI, PELUMBA KERETA TANPA TANGAN. KENDALI JENTERA GUNA KAKI

Kehilangan kedua-dua belah tangan dalam kemalangan tragis tidak menghalang peminat permotoran mengejar impian bergelar pelumba kereta.

Bahkan, lelaki bernama Bartek Ostalowski yang berasal dari Poland membuktikan mampu bertanding dalam kejohanan drift.

Bartek, kudung kedua tangannya, selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 2006 ketika berusia 20 tahun.

Sejak itu, Bartek berdepan pelbagai cabaran mempelajari selok-belok pemanduan kereta di litar lumba semata-mata untuk mencapai impian bergelar pelumba.

Tidak mengenal erti putus asa, lelaki itu mengambil masa kira-kira tiga tahun memahirkan diri mengendali jentera perlumbaan dengan menggunakan kaki.

Bagi mengatasi keterbatasan fizikalnya, Bartek mengubah suai Nissan Skyline GT-R sesuai dengan keperluannya selain menambah enjin baharu, kotak gear bebas dan transmisi lebih padu.

Pemandu bercita-cita tinggi itu menggunakan kaki kanannya untuk mengawal pedal dan memandu dengan kaki kirinya.

“Selepas kemalangan, saya cuba mencari jalan keluar. Saya bertanya pada diri sendiri jika mahu berlumba lagi apa yang perlu saya lakukan?” katanya kepada Business Insider.

“Saya dengar ada kisah seseorang di Poland seperti saya, tidak memiliki anggota badan yang sempurna tetapi memandu kereta setiap hari tanpa masalah.

“Selepas bertemu dengannya, impian dan minat saya untuk sukan permotoran kembali ‘hidup’ serta ia mendorong membuat keputusan untuk kembali berlumba suatu hari nanti,” katanya.

Selepas menempa nama di litar perlumbaan Poland, Bartek menyahut cabaran yang lebih besar.

Pada 2019, Bartek menduduki tempat kesembilan daripada 50 pemandu dalam Kejuaraan Drift Poland, salah satu siri kejuaraan paling kompetitif di seluruh Eropah

Setahun sebelumnya, dia memenangi siri kejohanan perlumbaan antarabangsa Czech mengalahkan puluhan pemandu profesional lain.

Bartek kini ibarat adiwira dan inspirasi bagi orang kurang upaya (OKU) di seluruh dunia.

“Sudah tentu saya galakkan OKU untuk terbabit dalam sukan permotoran.

“Ini adalah semangat yang indah dan bagi saya bentuk pemulihan yang hebat juga. Justeru, jadikan impian anda menjadi kenyataan, “katanya. – Odditycentral/HM

Google ads
Back to top button