Buletin

PLAT KENDERAAN OKU. BOLEH BENDUNG PENYALAHGUNAAN FASILITI OKU

Cadangan penggunaan plat kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) dilihat bertepatan dan wajar bagi memudahkan penguatkuasaan penyalahgunaan fasiliti OKU.

Senator Ras Adiba Radzi berkata langkah itu secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan dikhaskan untuk golongan OKU, terutamanya lot parkir.

“Saya mewakili golongan OKU menyambut baik cadangan plat kenderaan OKU bagi menggantikan penggunaan pelekat kenderaan OKU kerana di sini kita boleh melakukan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan OKU terutama parkir OKU.

‘’Plat kenderaan ini akan diletakkan simbol ‘wheelchairs’ berwarna biru iaitu warna standard yang digunakan (OKU) di seluruh negara,’’ katanya.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata penggunaan plat itu turut akan membantu penjaga dan waris OKU mengatasi kekangan pergerakan terutamanya ketika mereka berada di kawasan awam.

Beliau turut menyeru pemilik premis dan bangunan agar menyediakan kemudahan mesra OKU di premis masing-masing.

Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dilaporkan bersetuju penggunaan plat kenderaan OKU itu dengan mengambil kira kepentingan dan keperluan OKU serta waris yang memerlukan kemudahan tersebut disebabkan oleh kekangan mobiliti dan faktor keselamatan.

Menurut kementerian itu, kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan terbabit ialah kategori Fizikal, subkategori OKU Pembelajaran iaitu  ‘Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) Akut’, Autisme Akut, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (satu waris) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. – Bernama

Google ads
Back to top button