
BHPETROL ANJUR PROGRAM KESELAMATAN BALIK KAMPUNG SEMPENA TAHUN BARU CINA 2026
BHPetrol meneruskan komitmennya terhadap keselamatan pengguna jalan raya dengan menganjurkan Program Keselamatan Balik Kampung sempena Tahun Baru Cina 2026 di stesen BHPetrol Kg Baharu Puchong, di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Inisiatif tahunan itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemanduan selamat, khususnya ketika musim perayaan.
Program tersebut turut diserikan dengan ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad, selain sesi perkongsian tip keselamatan jalan raya yang disampaikan oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya (BKJR).
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, pengguna lebuh raya yang singgah mengisi minyak di stesen berkenaan menerima beg hadiah yang mengandungi makanan ringan, snek serta ang pow sempena suasana perayaan.

Azizul berkata, pihaknya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pelanggan dan berharap sambutan kali ini membawa kegembiraan serta kemakmuran.
Beliau turut menekankan peranan BHPetrol sebagai anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan produk tempatan, termasuk melalui rangkaian makanan sedia dimakan eNAK yang ditawarkan di stesen-stesen BHPetrol.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan ketika memandu.
“Pandu cermat, sampai selamat. Semoga semua dapat pulang menyambut perayaan bersama keluarga tersayang,” katanya.









