
BHPETROL ANJUR PROGRAM BALIK KAMPUNG RAYA DENGAN SELAMAT – SERAH BEG CENDERAHATI, BAUCAR KEPADA PELANGGAN
Sebagai sebahagian daripada tradisi tahunan menyambut Hari Raya Aidilfitri, BHPetrol sekali lagi menganjurkan program khas untuk meraikan pelanggan, rakan niaga, dan kakitangan mereka.
Tahun ini, acara tersebut diadakan di stesen BHPetrol Sg. Besi Harmony (PLUS arah Selatan), sebuah lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan untuk pemandu yang memulakan perjalanan ke arah selatan selepas meninggalkan ibu kota.
Dalam usaha memberikan pengalaman lebih selesa kepada pelanggan, sebanyak 300 beg cenderahati berisi makanan ringan dan minuman diagihkan kepada mereka yang singgah di stesen tersebut.
Selain itu, pelanggan turut menerima sampul raya dalam bentuk baucar BHPetrol yang boleh ditebus di mana-mana stesen BHPetrol di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan jalan raya musim perayaan, pemeriksaan kenderaan percuma dengan sembilan checkpoint disediakan oleh pihak PLUS bagi memastikan kenderaan pelanggan berada dalam keadaan terbaik sebelum meneruskan perjalanan.
Turut diadakan ialah sesi perkongsian mengenai keselamatan jalan raya, terutamanya aspek pemanduan jarak jauh, yang disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Encik Mohd Yusuf Abdul Aziz.
Selain itu, klip video mengenai tips keselamatan jalan raya hasil perkongsian pempengaruh digital Abang Gan dari PanduLaju turut ditayangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad, turut menyampaikan pesanan kepada para pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman.
“Saya berharap agar semua pemandu sentiasa berhati-hati dan selamat tiba di destinasi masing-masing untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
“Jangan lupa untuk singgah di stesen BHPetrol bagi mengisi bahan api Infiniti bagi memastikan perjalanan lebih lancar. Makanan ringan dan minuman di BHPetromart juga tersedia untuk keselesaan anda sepanjang perjalanan. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.”









