
BHPETROL BANDAR TUN RAZAK KINI TAMPIL DENGAN WAJAH BAHARU
BHPetrol hari ini membuat perasmian rasmi stesen BHPetrol Bandar Tun Razak yang kini tampil dengan imej baharu dan lebih segar.
Stesen ini mempunyai sejarah panjang apabila mula beroperasi di bawah jenama BP sejak tahun 1996 sebelum beralih kepada BHPetrol pada 14 Februari 2006, seiring dengan proses penjenamaan semula semua stesen BP di seluruh negara.
Hari ini, ia kekal beroperasi sebagai sebahagian daripada rangkaian stesen minyak tempatan yang dipercayai rakyat Malaysia.

Menawarkan bahan api berkualiti tinggi termasuk BHPetrol Infiniti Petrol 95, 97, Diesel B10 dan Diesel B7, stesen ini turut memastikan bekalan yang stabil dan memanfaatkan subsidi kerajaan di bawah inisiatif BUDI95.
Usaha ini membolehkan pengguna menikmati harga bahan api yang disubsidi, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup harian.
Terletak di kawasan strategik Bandar Tun Razak, stesen berwajah baharu ini bukan sekadar tempat mengisi minyak, malah turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kedai serbaneka BHPetromart, ruangan solat, Kenangan Coffee, serta tandas yang luas dan bersih bagi keselesaan pelanggan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, bersama Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.
Hadir sama ialah para pengusaha stesen BHPetrol sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, rakan niaga, wakil media serta pelanggan setia.
Dalam ucapannya, Ir. Azizul menegaskan bahawa BHPetrol akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan bagi memastikan manfaat besar dapat disalurkan kepada masyarakat.

“Kami percaya stesen minyak hari ini bukan sekadar tempat mengisi bahan api, tetapi juga pusat kemudahan komuniti yang memberi nilai tambah kepada pengguna.
“Kerjasama erat antara BHPetrol, DBKL dan PDRM amat penting untuk memberi impak positif kepada perniagaan dan masyarakat,” katanya.
Dengan pembukaan semula stesen berimej baharu ini, BHPetrol mengukuhkan lagi kedudukannya untuk menawarkan perkhidmatan terbaik serta pengalaman pelanggan yang lebih selesa dan moden.
- BACA: JPJ, PDRM SELARAS SAMAN LALU LINTAS, BAYAR AWAL DAPAT DISKAUN 50 PERATUS
- BACA: OMODA & JAECOO CIPTA REKOD JUALAN GLOBAL BAHARU
- BACA: TOYOTA LAND CRUISER FJ DIPERKENAL DI JEPUN – ENJIN 2.7L, 161HP, DEBUT DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025
- BACA: LAGI IMEJ HONDA CB1000 GT BOCOR, DOKUMEN TERBARU DEDAH 150HP









