BMW R 12 S, DARIPADA R 12 nineT UNTUK RAI MODEL KLASIK R 90 S
Motosikal moden dengan gaya retro sememangnya menawan dan memiliki kelompok peminat tersendiri.
Sama ada pengeluar dari Jepun, Jerman, Itali, India, China, Taiwan atau Thailand, semuanya mempunyai motosikal moden dengan gaya retro.
Ini pula model terbaru dari BMW Motorrad iaitu BMW R 12 S. Bukan sekadar membawa gaya lama tetapi meraikan model klasik R 90 S.
Motosikal ini dikeluarkan pada 1973 dan menyerlah dengan 67 kuasa kuda (hp) dan kelajuan tertinggi 200 kilometer sejam (km/j).
R 90 S mencatat pelbagai kejayaan sebagai contoh menang dalam kategori perlumbaan Isle of Man pada 1976 dan 200 Miles of Daytona pada tahun sama.
BMW Motorrad mengambil R 12 nineT yang diperkenal pada November 2023 untuk dijadikan objek retro baharu.
Warna jingga Lavaorange menjadi perakuan kepada R 90 S Daytona Orange tahun 1975. Dua jaluran merah juga mengingatkan pada model asal.
Permainan warna mengubah penampilan sebuah model baharu kepada R 90 S yang tampak klasik. R 12 nineT memang cocok dibuat gaya lama begini.
Satu lagi yang memainkan peranan ialah sepit udang warna perak dan hitam dan rim Option 719 Classic II juga dalam warna perak. Cuma hab rim tidak dibuat warna perak seperti asal.
BMW Motorrad juga mengekalkan tema hitam pada perkasakan enjin berbanding warna perak pada model yang diraikan.
R 12 S dilengkapi Comfort Package yang terdiri daripada Kawalan Mula Mendaki, Shift Assistant Pro, Kawalan Pandu dan fungsi pemanas pada pemegang hendal.
Lampu pembelokan boleh suai Headlight Pro membantu menerangkan jalan di selekoh semasa tunggangan malam.
Menggerakkan R 12 S adalah enjin Boxer 1,170 cc dua silinder yang menghasilkan 109 hp pada 7,000 rpm dan 115Nm 6,500 rpm.
Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j memerlukan 3.6 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 216 km/j.
Menggunakan BMW R 12 nineT bermakna R 12 S boleh dipasang aksesori sama seperti ekzos titanium, beg dan pelbagai lagi.
Pelanggan juga boleh memesan perkakasan dan sistem seperti Kawalan Tekanan Tayar (RDC), Sistem Penggera Anti Kecurian (DWA), Panggilan Kecemasan Pintar, Kawalan Tunggangan Terhubung dan paparan digital.
BMW R 90 S
BMW R 12 S