Motosikal

PROTOTAIP BMW S 1000 RR GENERASI BAHARU DIKESAN DI NURBURGRING – 215HP

Umum sedia maklum bahawa generasi sedia ada  BMW S 1000 RR (K67) sudah pun berada dalam pasaran sejak 2019 selepas membuat debut rasmi di EICMA 2018.

Walaupun BMW Motorrad beberapa kali mengemas kini model K67 itu namun secara asasnya model yang ditawarkan ketika ini masih lagi model yang sama diperkenalkan pada 2019. 

Sekitar Mei tahun lalu, BMW Motorrad telah pun memperkenalkan Concept RR, model bayangan generasi baharu S 1000 RR. 

*Concept RR

Setahun kemudian, akhirnya imej pertama generasi baharu S 1000 RR didedahkan kepada umum setelah prototaip tersebut dikesan menjalani ujian di Litar Nurburgring di Jerman. 

Berdasarkan gambar yang dimuat naik Wunderlich International, prototaip tersebut muncul di acara BMW Motorrad Action Team Perfektionstraining di Nürburgring Nordschleife. 

Jika dibandingkan dengan Concept RR, jelas prototaip yang menghampiri produksi ini kelihatan mirip dengan model konsep tersebut termasuk bahagian Ram-Air di hadapan, reka bentuk lampu dan panel badan. Turut kelihatan adalah penggunaan brek Brembo Hypure terbaru, model sama yang terdapat pada Ducati Panigale V4.

Sementara itu, berdasarkan dokumen jenis kelulusan (VTA) yang difaulkan di Eropah, data teknikal mendedahkan bahawa generasi terbaru ini menawarkan 215hp, sekaligus merekodkan peningkatan 5hp berbanding model K67.

BMW S 1000 RR generasi terbaru ini dijangkakan akan membuat debut rasmi di EICMA 2025, November ini. – Wunderlich International

Google ads
Back to top button