Buletin

BUGATTI BABY II, JANGAN DITANYA BERAPA HARGA!

Lamborghini, Ferrari, McLaren itu separa luar biasa. Apa yang benar-benar luar biasa? Bugatti. Jenama ini begitu sukar ditemui di atas jalan raya dan kebanyakan masa hanya dijumpai di dalam garis masa media sosial.

Harga sebuah Bugatti sangat tinggi sehingga jarang benar didengari ia menjadi idaman seseorang untuk dimiliki secara realiti.

Kecuali individu tersebut seorang yang luar biasa.

Bugatti mempunyai sejarah yang panjang. Model yang membawa Automobiles Ettore Bugatti ke alam populariti pada tahun 1920an ialah Bugatti Type 35.

Type 35 adalah sebuah model perlumbaan yang paling berjaya sepanjang sejarah.

Percaya atau tidak, model ini telah memenangi sekitar 2,000 perlumbaan profesional dan amatur.

Secara purata kemenangan yang diraih lebih daripada 14 kali setiap minggu pada era kemuncaknya.

Satu lagi peristiwa menarik ialah pada tahun 1926, Ettore dan anak beliau Jean telah membina sebuah Type 35 dengan skala separuh untuk dihadiahkan kepada anak bongsunya iaitu Roland sempena hari lahir keempat.

Sekarang sejarah berulang pada ulang tahun ke-110 syarikat. Bugatti dan Junior Classics mahu mengembalikan semula Bugatti Baby tersebut.

Model itu dipertontonkan dalam bentuk cetakan 3D di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) 2019.

Apa yang diniatkan sebagai kereta one-off kemudian menjadi model rasmi Bugatti.

Model tersebut menjadi realiti selepas menerima maklum balas menggalakkan daripada pelanggan yang melawat kilang Bugatti di Molsheim.

Bugatti Baby kemudian dikeluarkan dan dijual dari tahun 1927 hingga 1936.

Sama seperti model Bugatti lain, jualan menjadi buruan dan hanya 500 unit dibina yang menjadikannya suatu koleksi sukar dijumpai.

Kenangan tersebut mahu dilahirkan semula untuk generasi baharu dan sempena ulang tahun ke 110 Bugatti.

Baby II adalah sebagai penghargaan kepada model ulung Ettore dan seperti keluaran asal, hanya 500 unit akan dikeluarkan.

Berikut ialah ciri-ciri Bugatti Baby II:

  • Mempunyai ukuran tiga perempat daripada Bugatti 35 dan boleh dipandu oleh orang dewasa dan kanak-kanak
  • Dibina daripada tangan dan direka menggunakan imbasan digital daripada Type 35 untuk perlumbaan Grand Prix Perancis di Lyon
  • Sama seperti Baby asal, model baharu menggunakan pacuan roda belakang dikuasakan oleh bateri
  • Mempunyai dua mod pemanduan iaitu 1kW untuk kanak-kanak dengan had kelajuan 20 km/j
  • Satu lagi pilihan ialah mod dewasa dengan kuasa 4kW dan had kelajuan 45 km/j
  • Pembeli yang mahu lebih kuasa boleh memesan pakej Speed Key yang sama seperti Speed Key pada Chiron
  • Pakej ini mempunyai pertambahan kuasa 10kW dan tanpa penghad kelajuan
  • Setiap unit akan dilengkapi plat nombor edisi terhad dan tempahan yang dibuat pada tahun 2019 didatangkan dengan logo ulang tahun ke-110 Bugatti

Mantap dan koleksi yang bagus termasuk harganya. Bugatti Baby II boleh dimiliki pada harga permulaan EUR 30,000 (RM 138,652) dan tempahan boleh dibuat melalui emel [email protected]

*1 EUR = RM 4.621

Google ads
Back to top button