Buletin

CADANGAN TUBUH AMANAH LEBUH RAYA SEDANG DIKAJI. KALAU JADI TOL TURUN HARGA

Kerajaan dalam proses meneliti kertas cadangan untuk mengumpulkan kesemua 35 lebuh raya termasuk enam yang kini dalam proses pembinaan untuk diletakkan di bawah satu badan amanah lebuh raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia merupakan antara usaha kerajaan untuk menurunkan kadar tol termasuk di lebuh raya PLUS.

“Terdapat cadangan sebagai contoh, oleh sebuah syarikat untuk menubuhkan amanah lebuh raya, meletakkan segalanya dalam amanah.

“Dengan berbuat demikian kadar tol kemungkinan dapat diturunkan tetapi buat masa sekarang ia masih sedang dibincangkan, kerana perkara ini sangat rumit dan kami perlu melalui butiran terperinci,” katanya.

Antara lebuh raya utama di negara ini termasuklah Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang dimiliki UEM Group, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak.  

Menurutnya lagi, dalam masa sama, kerajaan juga akan melihat semula terma perjanjian yang dipersetujui kerajaan terdahulu, membabitkan pengurangan kadar tol PLUS.

“Kajian itu kini dalam peringkat perbincangan dan dijangka siap enam bulan lagi. Saya tidak mahu berjanji untuk mengurangkan kadar tol.

“Apa yang sedang dilaksanakan kami adalah untuk melihat semula terma, untuk memastikan perjanjian terbaik bagi semua pihak berkepentingan, ini babitkan tujuh daripada 35 tol dan bagi yang lain kita akan kaji juga,” kata Mustapa.

Antara pemegang kepentingan terbesar konsesi lebuh raya di negara ini ialah Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).- Bernama

Google ads
Back to top button