Buletin

PROTOTAIP PESAWAT PERTAMA BUATAN INDONESIA TERSANGKUT DI TOL

Sebuah prototaip pesawat yang dalam perjalanan ke muzium tersangkut pada pintu masuk plaza tol ketika proses pemindahan.

Pesawat buatan pertama Indonesia pada tahun 1995 itu bakal dipamerkan di Muzium Pusat Angkatan Udara Indonesia, Yogyakarta di Jawa Tengah. Menurut pihak berkuasa, pesawat jenis Turboprop Gatotkaca N250 itu dalam perjalanan dari Jawa Barat.

Kejadian berlaku apabila pemandu trak yang mengangkut kapal terbang berkenaan tidak sedar bahawa muatannya itu terlalu tinggi.

Pengurus Operasi Tol PT Trans Marga, Fauzi Abdurrahman memberitahu kakitangannya membantu pemandu mengundurkan trak yang membawa pesawat itu dari pintu tol bagi mengelakkannya daripada rosak.

Proses mengalihkan pesawat ke pintu tol lain mengambil masa lebih tiga jam.

“Kami membantu pemandu mengundurkan trak berkenaan, sebelum membawanya  ke pintu gerbang yang lebih besar bagi membolehkan ia boleh melepasi jalan itu.

“Mujur tiada kerosakan teruk pada pesawat mahupun pintu tol terbabit,” katanya.

Setelah melepasi pintu masuk tol kedua, trak itu kemudian meneruskan perjalananan ke muzium dengan selamat.

Pesawat N250 yang dibina pada tahun 1995 itu menjadi kebanggaan rakyat Indonesia. Ia merupakan kapal terbang pertama yang dibangunkan menerusi strategi pembangunan utama yang dilancarkan bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie ketika beliau menjadi Menteri Teknologi dan Penyelidikan.

Namun, penghasilannya terpaksa diberhentikan apabila Indonesia berdepan krisis ekonomi pada tahun 1998. – Astro Awani

Google ads
Back to top button