Artikel Pilihan

MPV PILIHAN, TAK MAHAL DAN BOLEH BELI TUNAI

Kadang-kadang ada kawan bertanya, kalau nak beli MPV terpakai apa yang boleh dibeli. Nak murah, boleh diharap dan luas. Jawapan yang biasa ialah Exora, Alza dan juga Avanza. Tapi kali ini kami senaraikan beberapa MPV yang agak jarang-jarang dilihat tapi sebenarnya menawarkan nilai yang baik. Apatah lagi harganya tak ada mahal sangat untuk anda membuat pembelian secara tunai.

Kami senaraikan beberapa jenis MPV dari pelbagai jenama untuk pilihan anda secara rawak. Kriterianya ialah murah, boleh dibeli dan kos penyelenggaraan yang tak mahal. paling kurang ia dilengkapi dengan 2 beg udara dan brek ABS. MPV yang kami senaraikan ini kebanyakan membenarkan kerusi bayi dipasang dengan menggunakan kaedah tali keledar keselamatan.

1. Toyota Rush – atau juga dikenali dengan nama Daihatsu Terios dengan 2 kod cesi (J200 jarak antara roda pendek / F700 jarak antara roda panjang). Ketika dilancarkan model pendek dikenali dengan nama Perodua Nautica dan Toyota Rush bagi versi 7 tempat duduk. Dilancarkan dengan 2 varian iaitu 1.5G dan 1.5S yang dikuasakan dengan enjin 1500cc.

Ia menghasilkan 107 kuasa kuda dan menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik, 7 tempat duduk, ruang kargo sebesar Alza apabila semua tempat duduk digunakan dan kipas penyaman udara yang dipasang pada bahagian syiling untuk penumpang barisan ke 3. Harga bagi unit 2009 ialah sekitar RM 23,000 seunit bergantung pada keadaan.

2. Kia Carens Rondo – atau bagi pasaran Malaysia ia dikenali dengan nama Naza Citra Rondo yang dilancarkan pada tahun 2009. Ia dihasilkan di fasiliti pemasangan Naza di Gurun, Kedah. Ia dikuasakan dengan enjin 2000cc G4KA yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Chrysler, Kia/Hyundai dan Mitsubishi dengan binaan aluminium sepenuhnya.

Enjin CVVT ini menghasilkan 144 kuasa kuda sebelum dihantar ke transmisi 4 kelajuan automatik pacuan depan. Yang menariknya ialah suspensi belakang menggunakan Multi-Link. Barisan kedua hadir dengan corong penyaman udara bagi membantu proses penyejukan MPV 7 tempat duduk ini. Model 2009 dijual dengan harga RM 13,000 manakala keluaran tahun 2012 dijual pada harga RM 16,000.

3. Nissan X-Gear – MPV ini merupakan versi pendek kepada Nissan Grand Livina dan hanya menawarkan 5 tempat duduk sahaja berbanding 7 tempat duduk. Ruang kargo adalah sebesar 383 liter ataupun jika penyandar tempat duduk barisan kedua dilipat, ia menghasilkan 769 liter. Bahagian bumbung pula mampu membawa beban sehingga 25kg.

Sama seperti Nissan Grand Livina, ia dikuasakan dengan enjin 1600cc HR16DE yang menghasilkan 103 kuasa kuda dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik. Sekiranya anda mahukan pilihan yang ranggi, boleh pilih versi kosmetik Impul yang sekarang ini dijual pada harga RM 26,000 bagi unit tahun 2013

Sekiranya anda mahukan MPV 7 tempat duduk, Grand Livina 2012 boleh didapati dengan harga sekitar RM 30,000.

4. Honda Freed – ia sebenarnya direka untuk kegunaan pasaran Jepun bagi bersaing secara terus dengan Toyota Sienta. Cesi asalnya merupakan cesi yang sama digunakan untuk City dan juga Jazz. Ia dikuasakan dengan enjin yang sama dengan City/Jazz 1500cc SOHC i-VTEC 116 kuasa kuda namun hanya mampu memuatkan 6 penumpang dalam satu masa.

Ketika diperkenalkan, hanya satu transmisi sahaja yang diperkenalkan iaitu 5 kelajuan automatik. Jika semua kerusi digunakan, ruang karga menjadi terhad. Solusinya ialah dengan melipat satu kerusi di belakang untuk 5 tempat duduk. Bagi unit terpakai ia dijual dengan harga sekitar RM 36,000-RM 38,000 bergantung pada tahun pengeluaran.

5. Volkswagen Cross Touran 1.4TSi – akhir sekali sebuah MPV (atau crossover kompak) yang dihasilkan dari Volkswagen dengan kapasiti 7 tempat duduk. Amaran keras, Touran ini hanya untuk yang berjiwa kental sahaja, walaupun murah dan datang dengan kombo trenkuasa yang berkuasa, kos pembaikan membuatkan rambut anda gugur bertaburan.

Ia dibekalkan dengan enjin 1400cc TSI (Turbo Stratified Injection) yang menghasilkan 138 kuasa kuda dan 220Nm tork sebelum disalurkan pada transmisi 7 kelajuan berkembar. Harganya sekitar RM 30 ribu sahaja tapi hanya untuk yang berani, berani pakai dan berani tanggung.

Google ads
Back to top button