Buletin

RUMAH KECIL DI TENGAH LEBUH RAYA. BOLEH KE HIDUP BISING-BISING?

Pemilik rumah sanggup menjalani kehidupan harian ‘bertemankan’ aliran trafik apabila enggan menjual rumah dan menerima pampasan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lebuh raya.

Rakaman menunjukkan rumah kecil berkenaan diapit antara dua jambatan Haizhuyong di wilayah Guangdong, Selatan China.

Menurut laporan stesen TV Guangdong, rumah satu tingkat berkenaan terletak di tengah-tengah lebuh raya empat laluan.

Pemilik kediaman yang dikenali sebagai Liang, berkata dia enggan berpindah kerana kerajaan gagal menawarkan rumah baharu di lokasi ideal.

“Anda fikir persekitaran ini teruk tetapi saya merasakan ia tenang, bebas, menyenangkan malah sangat selesa,” katanya.

Liang menambah dia sangat gembira malah akan berdepan sebarang kemungkinan yang berlaku. Dia juga tidak kisah dengan pandangan orang lain terhadap tindakannya.

Dalam satu temuramah bersama Pear Video, dia mendakwa ditawarkan tempat tinggal bersebelahan bilik mayat. Berikutan itu dia masih tidak berpindah.

Sementara itu, pihak berkuasa wilayah Haizhu berkata kepada Guangzhou Daily, Liang merupakan satu-satunya penghuni daripada 47 isi rumah dan tujuh perniagaan yang masih menetap di kawasan itu.

Pihak berkuasa mendakwa, telah menawarkan beberapa lokasi kediaman dan skim pampasan wang tunai tetapi telah ditolak wanita terbabit. – agensi.

Google ads
Back to top button