
CADILLAC ESCALADE IQ – APABILA SUV LEJEN AMERIKA DI-ELEKTRIK-KAN
Jenama Cadillac Escalade sudah semestinya dianggap sebagai SUV lejen Amerika Syarikat. Penggunaannya oleh Ejen Perisik mengangkat lagi martabat SUV yang besar gedabak ini. Tapi pengeluar Amerika Syarikat ini sudah bersedia untuk mengangkat lagi darjat Escalade ini apabila model baharu Cadillac Escalade IQ, SUV elektrik sepenuhnya akan diperkenalkan kelak.
Penghasilan Cadillac Escalade IQ ini dijelmakan hasil daripada imaginasi semula Cadillac dalam pembinaan SUV bersaiz penuh dengan rekaan yang ikonik, tahap ketukangan tertinggi dan juga teknologi automotif tertinggi.

Walau pun ianya sebuah model EV, namun Cadillac masih mengekalkan identiti rupa hadapan keturunan sebuah Cadillac, sama seperti saudaranya se-elektrik-nya, Cadillac Lyriq. Penampilan luarannya mungkin kelihatan sedikit melampau dengan penggunaan rim bersaiz 24 inci namun apabila melihatkan saiz keseluruhan Escalade IQ ini ianya kelihatan seperti biasa – biasa aja.
Namun paling melampau adalah di bahagian dalamannya apabila bentangan skrin melengkung dari hujung ke hujung bersaiz 55 inci untuk memaparkan info dan juga hiburan kepada penumpang. Sebetulnya skrin tersebut terbahagi kepada dua bahagian, 35 inci adalah untuk pemandu dan 25 inci lagi untuk penumpang di sebelah. Jelas juga ketiadaan butang butang fizikal yang kini ianya digantikan panel skrin pada bahagian tengah di bawah.

Untuk penumpang di kerusi kedua dengan tempat duduk kapten juga tidak dilupakan. Dua skrin bersaiz 12.6 inci di tempatkan di perehat kepala kerusi hadapan tersedia lengkap dengan input HDMI. Fungsi mengurut dan pengudaraan untuk kerusi kapten juga tersedia untuk keselesaan penumpang. Di bahagian bumbung telah dipasangkan cermin suria dari kerusi hadapan hingga ke kerusi barisan kedua.
Dan disebabkan ruangan enjin di hadapan terbiar dek kerana ketiadaan enjin untuk disumbat, Cadillac telah membuatkan ruangan penyimpanan tambahan yang digelar eTrunk. Ianya berupaya menempatkan dua beg golf tanpa masalah.

Dan sebagai model EV, Cadillac IQ ini mampu bergerak sehingga 450 batu (724 km) dengan kuasa maksimum 750 kuasa kuda. Kuasa tujahannya juga bukan calang calang apabila ianya mampu mencapai angka 785 lb-ft. Disebabkan kuasa yang ada pada Cadillac Escalade IQ ini, ianya berupaya menarik beban di belakang sehingga 8,000 pounds (3628 kg). Di saat kecemasan, model SUV yang bergaya ini berupaya membuat pengecasan awam dalam tempoh 10 minit dan berupaya bergerak sehingga 160 km.
Ciri keselamatan yang canggih ada pada Escalade IQ ini termasuklah Blind Zone Steering Assist, Intersection Automatic Emergency Braking, HD Surround Vision, Enhanced Automatic Parking Assist dan juga Front Pedestrian and Bicyclist Braking.
Harga yang ditawarkan dijangka bermula pada aras $130,000 (RM596,310). Ianya dijangka mula dijual pada penghujung tahun 2024 nanti dan akan mula berada atas jalanraya pada tahun 2025.
BACA : CADILLAC LYRIQ – SUV FUTURISTIK UNTUK MASA HADAPAN
BACA : 19 MINIT JE CADILLAC LYRIQ HABIS DITEMPAH. SIAPA KATA EV TIADA PERMINTAAN