CADILLAC ESCALADE BAHARU. INI BARULAH SUV GAYA LEBIH AMEEEREKA
Harus diakui satu perkara tentang Cadillac, Escalade adalah merupakan suatu jenama SUV yang cukup ikonik. Dan kini, sudah sampai masanya untuk mereka memperkenalkan Cadillac Escalade untuk tahun 2021, dengan gaya dan teknologi perintis baharu.
Sesungguhnya Cadillac Escalade ini memang sering kita lihat aksinya dalam filem terbitan negara Uncle Sam terutamanya. Sememangnya ini adalah sebuah SUV yang cukup sinonim dengan negara tersebut.
Dan buat pertama kalinya Cadillac Escalade baharu ini dilengkapi dengan Organic Light Emmiting Diode (OLED). Ciri OLED ini dibangunkan khusus untuk meningkatkan lagi penglihatan pemandu.
Sistem ini merangkumi tiga skrin, terdiri daripada panel kawalan pemandu bersiaz 7.2 inci, paparan kluster bersaiz 14.2 inci di belakang stereng serta skrin infohiburan bersaiz 16.9 inci. OLED ini merupakan sistem yang dibangunkan berdasarkan seumpama kertas nipis dengan rekabentuk melengkung dengan tujuan memberikan penglihatan yang lebih optimum kepada pemandu.
Menghiburkan penumpang adalah sistem audio daripada AKG, sebuah jenama yang cukup terkenal di kalangan ahli muzik baik di studio mahupun pementasan secara langsung. Kini jenama AKG bekerjasama pula dengan Cadillac dalam bidang automotif. Barangkali dia punya bunyi serupa layan konsert dalam kenderaan gamaknya
Yang pasti, dengan konfigurasi 2+2+3 cukup selesa untuk membawa ahli keluarga yang besar tanpa masalah. Malah tempat duduk kapten di barisan kedua menyerlahkan lagi ciri eksekutif untuk SUV ini. Malah ruang kelegaan kaki barisan ketiga kini lebih luas sebanyak 40% dan juga ruang kargo sebanyak 68% berbanding keluasan model sebelumnya. Terima kasih kepada penambahan titik roda.
Manakala bahagian luaran generasi kelima Cadillac Escalade ini sekali lagi menampilkan tipikal sebuah SUV gaya Amerika dengan saiz yang bagak. Sudah tentu paling menyerlah adalah gril hadapan yang besar.
Bahagian belakangnya pula menampilkan rekaan yang agak minimalis. Terutamanya apabila lampu utama yang menipis dan memanjang ke bawah. Sedikit menyerlah hanyalah pada tip ekzos berkembar. Yang ini real. Bukan fake punya.
Bersemi dengan tenang di ruangan enjin adalah baharu 6.2 liter V8. Barulah boleh mendapat kuasa kuda sehingga 420 hp. Dan buat pertama kalinya juga enjin 3.0 liter turbo diesel ditawarkan. Kuasa tork enjin tersebut mampu mencecah 623 Nm. Kedua dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear 10 kelajuan.
Yang pasti kemunculan SUV ikonik ini kelak pasti mampu menarik perhatian terutamanya buat peminat tegar SUV dengan gaya Ameeereka. Ejen Perkhidmatan Rahsia pun suka juga.