Buletin

CASTROL LANCAR PROGRAM ‘e-HAILING HEROES’ – SOKONG PEMANDU E-HAILING MENJELANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

Castrol Malaysia melancarkan program e-Hailing Heroes, satu inisiatif selama 12 bulan yang bertujuan membantu pemandu e-hailing mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan, sekali gus memastikan perkhidmatan kepada penumpang lebih selamat dan boleh dipercayai menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Program itu dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), dengan fasa pertama menyasarkan sehingga 3,000 kenderaan e-hailing, bermula di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Majlis pelancaran berlangsung di Romb 8 Studio dan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital MOTAC yang juga Ketua Sekretariat VM2026, Mohd Akbal Setia.

Melalui program berkenaan, pemandu yang layak akan menerima pakej servis Castrol MAGNATEC bernilai RM80 selepas melengkapkan 8,000 kilometer perjalanan yang disahkan.

Pakej itu merangkumi minyak enjin, penapis minyak dan upah pemasangan di bengkel Castrol Auto Service yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Pelancaran eHailing Heroes turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem pelancongan negara menjelang VM2026.

Pemandu e-hailing memainkan peranan penting sebagai antara individu pertama yang berinteraksi dengan pelancong, menghubungkan mereka ke lapangan terbang, hotel, pusat bandar, lokasi pelancongan, kawasan membeli-belah dan komuniti tempatan.

Mohd Akbal berkata, pengalaman perjalanan yang selesa, selamat dan mesra memberi kesan besar terhadap persepsi pelancong terhadap Malaysia.

“Apabila kita melabur dalam kebajikan serta keupayaan pemandu ini, kita sebenarnya turut melabur dalam imej industri pelancongan negara. Sambutan yang baik kepada pelawat bermula dengan menyambut ketibaan pelancong,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina, Gan Wee Kiong, berkata kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan bagi pemandu e-hailing, malah menjadi sumber pendapatan utama mereka.

Menurutnya, corak penggunaan kenderaan e-hailing yang melibatkan perjalanan singkat berulang, kesesakan lalu lintas dan kekerapan enjin dihidupkan serta dimatikan memerlukan perlindungan enjin yang lebih baik bagi mengurangkan kehausan komponen.

Beliau berkata, minyak enjin Castrol MAGNATEC dipilih untuk program itu kerana dirumus khas bagi memberikan perlindungan tambahan ketika enjin dihidupkan semula, selain sesuai untuk penggunaan dalam keadaan trafik bandar yang padat.

Presiden 4PAM, Ajit Johl, pula berkata penyelenggaraan kenderaan yang baik bukan sahaja memberi manfaat kepada pemandu, malah meningkatkan keyakinan penumpang terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan.

Sebagai tambahan kepada subsidi penyelenggaraan, Castrol turut menawarkan diskaun 10 peratus bagi pembelian minyak enjin kereta penumpang bermula Ogos ini, sekali gus membantu lebih ramai pemilik kenderaan memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Google ads
Back to top button