Buletin

CASTROL, SANY JALIN KERJASAMA PERKUKUH SEKTOR JENTERA BERAT

Castrol Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan SANY Malaysia bagi memperkukuh sokongan terhadap industri jentera berat yang semakin berkembang di negara ini.

Kerjasama itu merangkumi pembekalan pelincir, sokongan teknikal dan aplikasi, khidmat selepas jualan serta pelbagai inisiatif melibatkan pelanggan sektor pembinaan dan infrastruktur.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan barisan kepimpinan kanan kedua-dua syarikat. Castrol diwakili Naib Presiden Asia Pasifik, Mike Zhang, Pengarah Jualan Negara Malaysia, Singapura dan Filipina, Gan Wee Kiong serta Ketua Pemasaran Asia Pasifik, Victor Cheong.

Sementara itu, SANY diwakili Pengerusi Lembaga SANY Singapura, Malaysia dan Australia BU, Liao Wei dan Timbalan Pengurus Besar Subsidiari Alat Ganti bagi rantau sama, Qi Long.

Menurut Mike Zhang, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen Castrol dalam menyokong sektor yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia.

Katanya, kepakaran Castrol dalam teknologi pelinciran mampu membantu pengendali jentera meningkatkan ketahanan peralatan, mengurangkan risiko kerosakan serta memastikan prestasi optimum dalam operasi mencabar.

Di bawah perjanjian itu, Castrol akan membekalkan pelbagai produk termasuk minyak enjin, minyak gear, bendalir hidraulik dan gris untuk digunakan pada jentera berat SANY.

Selain itu, syarikat itu turut menyediakan khidmat sokongan teknikal di lapangan, panduan pelinciran, latihan serta bantuan aplikasi bagi memastikan penggunaan produk yang lebih efektif pada sistem enjin, transmisi dan hidraulik.

Liao Wei pula berkata, SANY terus memberi tumpuan terhadap sokongan menyeluruh kepada kontraktor, pemilik armada dan pengendali sepanjang kitar hayat peralatan mereka.

Menurutnya, kepakaran Castrol dalam bidang pelinciran akan memperkukuh kemampuan selepas jualan syarikat serta membantu menyediakan sokongan lebih konsisten kepada rangkaian pelanggan SANY di Malaysia.

Kerjasama itu turut dijangka memberi manfaat kepada pemilik dan pengendali jentera menerusi penyelenggaraan lebih sistematik, perancangan servis lebih efisien serta bekalan pelincir yang lebih stabil.

Castrol juga memanfaatkan rangkaian pengedarannya di seluruh negara termasuk kilang campuran di Port Klang bagi memastikan bekalan produk dapat memenuhi peningkatan permintaan sektor jentera berat tempatan.

Google ads
Back to top button