
NI MAKSUD SEBENAR WARNA PADA ANGKUP BREK JENTERA NISSAN
Jika anda pernah melihat beberapa model prestasi Nissan seperti 400Z, GT-R atau Skyline GT-R, pasti perasan brake caliper yang dicat dengan warna merah, emas atau kuning. Kebanyakan peminat automotif menganggap warna tersebut sekadar elemen kosmetik bagi menyerlahkan imej sporty sesebuah kereta. Namun bagi Nissan ia mempunyai sebab yang lebih mendalam.
Menurut Derek Kramer, Pengurus Perancangan Produk Nissan North America, warna angkup brek sebenarnya digunakan sebagai satu bentuk “bahasa visual” (meiruka) bagi menunjukkan tahap prestasi sistem brek yang dipasang pada sesebuah model. Tradisi ini bermula daripada keluarga GT-R sebelum diperluaskan kepada model-model prestasi Nissan yang lain.
Dalam erti kata lain, warna brake caliper pada Nissan bukan dipilih secara rawak. Setiap satunya membawa maksud tersendiri dan menggambarkan tahap keupayaan sistem membrek, daripada kegunaan harian sehinggalah kepada jentera yang dibangunkan untuk penggunaan di litar.

Perak – sistem brek standard untuk kegunaan harian
Brake caliper berwarna perak merupakan spesifikasi asas yang digunakan pada kebanyakan model Nissan seperti Kicks, Rogue, Altima dan beberapa model lain.
Sistem brek ini direka untuk menawarkan prestasi membrek yang mencukupi bagi kegunaan harian seperti pemanduan di bandar atau lebuh raya. Ia mengutamakan ketahanan, kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan keselesaan pemanduan berbanding prestasi maksimum.
Dalam keadaan pemanduan biasa, sistem ini sudah memadai. Namun apabila dipaksa bekerja dalam keadaan ekstrem seperti membrek berulang kali di litar atau menuruni bukit yang panjang, prestasinya tidak akan setanding sistem brek yang dibangunkan khusus untuk pemanduan berprestasi tinggi.
Merah – permulaan dunia prestasi
Apabila Nissan menggunakan brake caliper merah, ia menandakan model tersebut menerima peningkatan ketara pada sistem membrek.
Sebagai contoh, Nissan Z Performance menggunakan angkup brek Akebono aluminium dengan konfigurasi empat omboh di bahagian hadapan dan dua omboh di belakang. Selain lebih ringan berbanding angkup besi tuang konvensional, rotor brek juga bersaiz lebih besar bagi meningkatkan kuasa membrek serta keupayaan menyerap haba.
Penggunaan aluminium turut membantu mengurangkan unsprung weight, iaitu berat komponen yang tidak disokong oleh suspensi. Semakin rendah unsprung weight, semakin pantas suspensi bertindak balas terhadap permukaan jalan, sekali gus meningkatkan kestabilan dan pengendalian kereta.
Ramai menyangka semua brake caliper merah menggunakan Brembo, namun bagi Nissan perkara itu tidak semestinya benar. Nissan Z Performance, misalnya, menggunakan sistem brek Akebono walaupun calipernya dicat merah.

Merah terang – eksklusif untuk Z NISMO
Tahap seterusnya ialah brake caliper merah terang yang digunakan pada Nissan Z NISMO. Selain menerima talaan casis yang lebih agresif, Z NISMO turut dilengkapi rotor hadapan bersaiz 15 inci yang diinspirasikan daripada Nissan GT-R. Brake caliper ini menggunakan cat khas yang direka untuk menahan suhu lebih tinggi ketika membrek berulang kali.
Perbezaan ini mungkin kelihatan kecil, namun bagi pemanduan di litar, suhu brake caliper boleh meningkat dengan sangat pantas. Cat biasa boleh berubah warna atau mengelupas apabila terdedah kepada suhu ekstrem, manakala cat khas pada model NISMO direka untuk mengekalkan penampilan serta melindungi permukaan caliper.

Emas – identiti Brembo
Bagi peminat Nissan, warna emas mungkin merupakan yang paling ikonik. Warna ini mula mendapat perhatian apabila Nissan Skyline GT-R R34 diperkenalkan pada tahun 1999 dengan brake caliper Brembo berwarna emas. Sejak itu, warna tersebut menjadi identiti kepada model-model prestasi tinggi Nissan.
Di Amerika Syarikat, Nissan 350Z Track Edition menjadi model pertama menerima sistem brek Brembo dengan warna emas, sebelum konsep sama diteruskan pada GT-R R35.
Pada GT-R R35, sistem Brembo menggunakan angkup enam omboh di hadapan dan empat omboh di belakang bersama rotor bersaiz besar. Gabungan ini membolehkan kereta memperlahankan kelajuan daripada lebih 300 km/j secara berulang tanpa mengalami kehilangan prestasi membrek yang ketara.
Selain prestasi, warna emas turut menjadi identiti visual yang cukup sinonim dengan Brembo sehingga ramai peminat automotif mampu mengenal pasti sistem brek tersebut hanya dengan sekali pandang.

Kuning – kemuncak teknologi brek Nissan
Brake caliper kuning berada di kedudukan paling tinggi dalam hierarki Nissan. Ini kerana warna ini menandakan penggunaan sistem brek karbon seramik yang hanya ditawarkan pada model tertentu seperti GT-R NISMO dan GT-R Track Edition.
Rotor karbon seramik menawarkan beberapa kelebihan berbanding rotor besi biasa. Antaranya ialah berat yang lebih ringan, ketahanan terhadap suhu yang jauh lebih tinggi, hayat penggunaan yang lebih panjang serta rintangan yang lebih baik terhadap fenomena brake fade.
Brake fade berlaku apabila suhu sistem brek meningkat sehingga pad brek kehilangan keupayaan menghasilkan geseran yang optimum. Ini menyebabkan pedal brek masih terasa normal tetapi jarak membrek menjadi lebih panjang.
Inilah sebab mengapa kereta lumba dan supercar menggunakan brek karbon seramik. Ia mampu mengekalkan prestasi membrek walaupun digunakan berulang kali pada kelajuan tinggi. Nissan turut menggunakan cat khas yang mampu menahan suhu sehingga sekitar 1,000 darjah Celsius bagi brake caliper kuning tersebut.
Walaupun sistem warna ini digunakan secara meluas, Nissan mengakui terdapat beberapa pengecualian dalam penggunaan warna angkup brek. Sebagai contoh, prototaip Nissan Z pernah dipamerkan dengan brake caliper kuning walaupun tidak menggunakan sistem brek karbon seramik.
Begitu juga GT-R50 by Italdesign yang menggunakan brake caliper Brembo berwarna merah dan bukannya emas seperti kebiasaan. Ini menunjukkan warna brake caliper bukanlah satu peraturan yang wajib dipatuhi dalam semua keadaan, namun ia tetap menjadi panduan umum bagi kebanyakan model prestasi Nissan.








