
CHINA UMUM CUKAI TAMBAHAN 25% KE ATAS KERETA DARI EROPAH
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China mengambil tindakan tegas bagi menanggapi kenaikan tarif oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap EV buatan China dengan mencadangkan tarif 25 peratus ke atas kereta dari Eropah yang menggunakan enjin pembakaran dalam (ICE).
Langkah ini dilaporkan oleh CCTV, setelah mesyuarat tertutup di Beijing antara Kementerian Perdagangan China, wakil daripada enam pengeluar kereta Eropah, empat pengeluar kereta China, serta badan industri dan penyelidikan.
Pada tahun 2023, kira-kira 250,000 kereta ICE dengan enjin 2.5 liter dan lebih besar telah diimport ke China.
Keputusan EU untuk menaikkan tarif terhadap EV buatan China, terutamanya menjejaskan SAIC Motor yang dimiliki negara dengan tarif mencapai 48.1 peratus, telah mencetuskan reaksi kurang senang.

Untuk makluman, jenama-jenama SAIC seperti MG dan IM, yang popular di pasaran Jerman, turut terkesan.
Dalam mesyuarat tersebut, wakil perdagangan China mendakwa bahawa siasatan EU terhadap EV China adalah alasan untuk mendapatkan rahsia perniagaan.
Cadangan untuk menaikkan tarif import ke atas kereta ICE besar telah dicadangkan oleh Global Times pada bulan Mei, sebelum siasatan EU.
Sementara itu, pengeluar EV China sedang memperluas operasi mereka di Eropah bagi mengurangkan kesan tarif.
BYD sedang membina kilang di Hungary yang dijangka mula beroperasi pada 2025, manakala Leapmotor T03 telah mula dihasilkan di kilang Poland Stellantis.
Manakala Great Wall Motor pula sedang mempertimbangkan lokasi kilang di Jerman, Czechia, Poland, atau Hungary, dan Chery Auto merancang sebuah kilang di Barcelona, Sepanyol.
Walaupun menghadapi cabaran seperti tarif dan duti tambahan, pengeluar EV China seperti BYD mungkin mampu menanggung kos tambahan dengan lebih baik berbanding yang lain.
BYD menghadapi tarif yang lebih rendah (17.4 peratus) berbanding purata industri (21 peratus), ditambah dengan duti import sedia ada sebanyak 10 peratus.
Penyesuaian tarif EU bertujuan untuk menyamakan persaingan mengikut pertumbuhan bahagian pasaran EV China di Eropah, yang meningkat dari 0.5 peratus pada 2019 kepada 8.2 peratus pada 2023.
Selain itu, pengeluar China juga bersedia untuk pengeluaran tempatan di Eropah, menunjukkan tindak balas strategik terhadap tekanan tarif dan cabaran peraturan.