PORSCHE MACAN ELEKTRIK, TAYCAN BAHARU JADI TUMPUAN – PRESTASI SERBA MANTAP
Porsche Malaysia, diwakili oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP), baru-baru ini menganjurkan Porsche World Roadshow (PWRS) di Litar Antarabangsa Sepang dari 20 Jun hingga 29 Jun.
Acara ini menampilkan pelbagai model Porsche termasuk 911 Targa 4 GTS, 911 Turbo S, 911 GT3 RS, 718 Cayman GT4 RS, Spyder RS, Cayenne Turbo E-Hybrid, Macan GTS, Panamera baru, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S Cross Turismo.
Satu sorotan istimewa di PWRS adalah kemunculan Taycan baharu – Taycan Turbo dan Taycan Turbo S Cross Turismo dengan harga mula dari RM575,000.
Taycan kini menerima kemas kini menyeluruh dengan peningkatan kuasa, jarak perjalanan lebih jauh, pecutan lebih pantas, dan pengecasan lebih cepat, serta lebih stabil.
Contohnya, Taycan dapat mencapai 100 km/j dalam hanya 4.8 saat, manakala Taycan Turbo S hanya mengambil masa 2.4 saat, menjadikannya lebih pantas daripada pendahulunya.
Selain itu, jarak pemanduan WLTP juga meningkat hingga 678km, peningkatan sebanyak 175km atau 35 peratus.
Macan Elektrik Turut Diperkenalkan
Selain Taycan, acara ini juga menjadi platform perkenalan eksklusif untuk Macan elektrik yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Macan generasi kedua ini datang dalam bentuk sepenuhnya elektrik dengan ciri-ciri reka bentuk khas Porsche, prestasi serba mantap, jarak perjalanan jauh, dan kepraktisan harian yang tinggi.
Macan elektrik sepenuhnya ini dibina diatas platfrom Premium Platform Electric (PPE) baharu, menampilkan Bateri HV dengan seni bina 800 volt.
Platform berkenaan membolehkan pengecasan pantas sehingga 270kW, di mana ia mempunyai keupayaan mengecas daripada 10 hingga 80 peratus hanya dalam tempoh 21 minit.
Di dalam kabin, ia dilengkapi kluster digital 12.6-inci dan skrin sentuh 10.9-inci dengan ketersambungan Android serta Apple CarPlay selain, mempunyai ciri pembantu suara “Hey Porsche”.
Perincian lain termasuklah sistem suspensi udara yang didatangkan standard, dilengkapi dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) dan turut menampilkan peredam dua injap.
Melalui pek bateri litium-ion berkapasiti 100kWj, Macan 4 ini menawarkan jarak gerak sejauh 613km.
Sementara, Macan Turbo pula berupaya mencapai jarak sejauh 591km.
Dari segi kuasa, Macan 4 menghamburkan kuasa 408hp dan tork 650Nm dengan daya pecutan dari 0-100km/j dalam 5.2 saat.
Manakala bagi Macan Turbo, ia menghasilkan kuasa lebih tinggi iaitu sebanyak 639hp dan tork maksimum mencecah 1,130Nm dengan daya pecutan 0-100 km/j dalam 3.3 saat sahaja.
Ketersediaan untuk Tempahan
Model-model baru Taycan kini boleh ditempah dan akan tersedia di Porsche Centre seluruh negara bermula Julai 2024 dengan harga mula dari RM575,000.
Bagi Macan elektrik, harganya masih belum didedahkan setakat ini tetapi tempahan telahpun dibuka sebelum pelancaran rasmi.