BUGATTI TOURBILLON HYBRID V16 DENGAN 1775HP – SIAPA PERLUKAN HYPERCAR EV KALAU MACAM NI
Bugatti sudah pun menamatkan pengeluaran Chiron dan mereka perlukan senjata baharu untuk melawan kuasa hypercar EV yang nampak semakin menonjol. Kini muncul masterpiece terbaru Bugatti yang dinamakan Tourbillon yang lebih ringan, lebih berkuasa dan semestinya lebih laju berbanding Chiron. Aduh laju-laju nak ke mana bey?
Untuk model terbaru mereka ini, Bugatti telah mengenepikan enjin W16 8.0 liter yang sebelum ini menjadi pilihan mereka sejak 2004. Tourbillon ini menggunakan enjin NA 8.3 liter V16 rekaan Cosworth yang mampu diperah sehingga 9,000 rpm. Kalau tak kenal Cosworth sila pergi main basikal je lah.
Pakar-pakar EV Rimac memutuskan untuk tidak menggunakan konsep EV sepenuhnya pada Tourbillon. Bagi yang tak tahu, Rimac telah mengambil alih Bugatti pada tahun 2021. Namun mereka tetap menggunakan kemahiran mereka untuk menghasilkan setup tiga motor hibrid yang menyumbang kepada pertambahan kuasa dan membolehkan Tourbillon bergerak sejauh 60 kilometer dengan mod EV sepenuhnya. Jadilah kalau nak keluar cari the tarik malam-malam tapi tak nak bini tahu.
Enjin V16 ini mampu menghasilkan 986 hp kuasa dan hampir menyamai enjin asal Veyron (987 hp). Tapi kena ingat, enjin Veyron menggunakan empat ‘ketul’ turbo bey. V16 ini NA. sistem hibrid Tourbillon pula menyumbang sebanyak 789 hp kuasa lagi kepada ‘raja’ baharu ini.
Berbeza dari Bugatti sebelum ini Tourbillon dengan enjin V16 menghasilkan bunyi yang sangat mantap. W16 sebelum ni memang laju tapi tak mampu menandingi bunyi enjin Ferrari yang terkenal. Carscoops menyifatkan bunyi Tourbillon seolah-olah bunyi gergaji berantai yang diberi suntikan nitrus oksida. Ah sudah, macam mana tu? Kami tak pernah lagi buat ulasan gergaji berantai ni.
Menurut data rasmi Bugatti, pecutan 0-100kmj Tourbillon adalah 0.4 saat lebih baik berbanding Chiron. 0-200kmj hanya 5 saat berbanding 6.1 saat Chiron manakala 0-300kmj adalah 10 saat barbanding 13.1 saat untuk Chiron. Fuh Alza vtectec abang baru nak cecah 100kmj dia dah cecah 300kmj bey.
Mana boleh jadi kalau Bugatti tak cecah 400kmj kan? Sebelum ini Chiron memerlukan 32.6 saat untuk mencecah kelajuan tersebut manakala Rimac Nevera memegang rekod dengan 21.3 saat (tapi Nevera ni EV mana aci). Tourbillon hibrid ini pula Cuma perlukan kurang dari 25 saat untuk cecah kelajuan 400kmj. Peh dahsyat tu. Kelajuan maksima pula dikatakan mencecah 445kmj, lebih 25kmj dari rekod kelajuan Chiron.
Nampaknya pemilik Chiron dan boleh berkira-kira untuk tukar model baru kot. Macam kita semua ni mampu tengok gambar je lah. Layan je gambar-gambar terbaru ni.