BuletinMotosikal

CUB PRIX 2018: BATU KAWAN JADI PUSINGAN PENENTU JUARA 

Saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bakal menyaksikan beberapa pelumba berpeluang untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan di Batu Kawan, Pulau Pinang pada hujung minggu ini.

Dalam saingan CP150, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran kini sedang mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 160 mata, 49 mata mengatasi Kasma Daniel kasmayuddin yang berada di kedudukan kedua dengan 111 mata sementara rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 103 mata.

Seandainya Afif berjaya menamatkan saingan di hadapan kedua-dua pelumba tersebut Afif bakal mengesahkan gelaran keseluruhan CP150 seawal pusingan kelapan memandangkan Md Akid Aziz yang kini berada di kedudukan keempat kini 87 mata ketinggalan di belakang dengan hanya baki 75 mata maksimum perlumbaan sahaja lagi.

“Sebenarnya peluang masih terbuka untuk Kasma dan Hafiz. Saya tidak menetapkan sasaran untuk memenangi gelaran di Batu Kawan sebaliknya hanya fokus untuk memberi aksi terbaik dan menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik. Paling penting, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang merugikan,” jelas Afif.

Sementara itu, dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin juga bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan selepas selesa mendahului kedudukan keseluruhan ketika ini dengan 163 mata.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu kini 67 mata mendahului rakan sepasukan, Md Fareez Afeez manakala tempat ketiga milik pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan 92 mata.

Tengku Amirul hanya perlu menamatkan saingan di kedudukan kelapan bagi mengesahkan gelaran seandainya Md Fareez memenangi perlumbaan. Namun, berdasarkan keputusan semasa, pelumba kelahiran Terengganu itu pasti mahu menambah koleksi untuk meraih kemenangan ketujuh setelah berjaya memenangi enam perlumbaan dari tujuh pusingan yang telah berlangsung.

Dalam pada itu, Md Aqid Jumali turut berpeluang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan kategori PETRONAS Sprinta Pro Am Cup seandainya berjaya menjaurai perlumbaan ataupun tamat di hadapan seteru utama, Md Shahzul Naim Razali.

Aqid mendahului kedudukan dengan 134 mata, 52 mata dihadapan Shahzol yang mengumpul 82 mata.

Google ads
Back to top button