Buletin

PELUMBA CUB PRIX CP150 BAKAL TERIMA GAJI BULANAN

Pemegang taruh utama Kejohanan Cub Prix Malaysia telah memutuskan untuk merombak sistem pembayaran semasa kepada pelumba acara itu.

Ia akan digantikan dengan elaun perlumbaan yang menyaksikan sistem gaji minimum secara bulanan diberikan.

Menurut kenyataan promoter perlumbaan Cub Prix, Two Wheels Motor Racing Sdn. Bhd., keputusan itu dicapai semasa mesyuarat antara prinsipal pasukan CP150 pada awal minggu ini bagi membantu pelumba Cub Prix terutama dalam kelas CP150 yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.

Buat masa ini, pembaharuan akan ditumpukan kepada kelas CP150 kerana ia adalah kelas profesional yang menyaksikan tugas pelumba sepenuh masa adalah berlumba.

“Idea gaji minimum adalah bagi memastikan pelumba terus menerima bayaran sekiranya perlumbaan dibatalkan. Kami perlu saling membantu antara satu sama lain dalam waktu yang sukar ini,” kata jurucakap kumpulan itu, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Bagaimanapun,  beliau menegaskan  gaji minimum itu tidak akan menggantikan bonus prestasi yang merupakan pendapatan utama pelumba.

Mesyuarat itu dihadiri wakil Pasukan Honda RCB Solaralert Cilik, Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Ipone Yamaha YY Pang, Idemitsu Honda Yuzy Racing, Hi-Rev SCK Honda Racing dan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing. 

Kejohanan Cub Prix Malaysia 2020 telah dihentikan sejak pusingan pembukaan di litar Tangkak, Johor pada bulan Mac selepas kerajaan memutuskan untuk melarang sebarang perhimpunan massa bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button