VOGE FORMICA ROSSA 150 BAKAL BERAKSI DI CUBPRIX, ARRC 2025
Kejuaraan CubPrix Malaysia dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2025 bakal menerima pendatang baharu kali ini menerusi VOGE Formica Rossa 150 (FR150).
VOGE merupakan antara jenama motosikal dari China yang diedarkan di Malaysia menerusi MForce Bike Holdings. Meskipun masih baru di Malaysia namun Voge merupakan antara jenama yang semakin meningkat naik dan mempunyai jalinan kerjasama erat hampir 20 tahun dengan jenama terkemuka, BMW Motorrad.
Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad sebelum ini pernah memberitahu pihak media bahawa antara perancangan yang disediakan bagi FR150 adalah untuk menyertai CubPrix dan ARRC.
Difahamkan, penyertaan VOGE FR150 ke dua kejuaraan itu adalah bertujuan membuktikan kemampuan motosikal berkenaan dikalangan model lain yang ada.
Atas kertas, FR150 dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC yang berupaya menjana 15.4hp pada 8,500rpm dan 13.5Nm pada 7,500rpm. Untuk makluman, platform yang diguna pakai mirip enjin yang sama ada pada Honda RSX namun dengan beberapa penambahbaikan.
Selain itu, FR150 turut dilengkapi dengan klac slipper, ABS dwi-saluran (pertama dalam kelasnya) serta transmisi manual 6-kelajuan.
Menurut pihak VOGE dalam satu kenyataan, FR150 kini sedang dalam proses homologasi oleh pihak penganjuran perlumbaan sebelum layak untuk menyertai perlumbaan musim 2025.
Dalam pada itu, VOGE turut memaklumkan bahawa mereka kini sedang melakukan pemilihan pasukan perlumbaan dengan keputusan akan diumumkan pada Januari 2025.