Buletin

POLIS SEKAT TRAFIK KELUAR PULAU PINANG

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa, Polis hari ini berkata, mereka menghadkan perjalanan keluar bagi penduduk Pulau Pinang ke tanah besar.

Memetik laporan laman FMT hari ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, mereka yang bekerja dalam sektor perlu di Seberang Perai akan dibenarkan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang.

Mereka yang tidak mempunyai sebab sah akan diarahkan berpatah balik ke bahagian pulau.

Tindakan polis ini susulan larangan perjalanan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac depan.

Soffian berkata, sekatan jalan raya diadakan di Jambatan Pulau Pinang bagi memeriksa semua kenderaan.

Pemandu perlu menunjukkan bukti urusan sah di tanah besar.

“Kami tidak membenarkan mereka yang tidak mempunyai sebab sah pergi ke tanah besar hanya untuk tujuan pelancongan atau mengunjungi tempat makan,” katanya.

34 kes Covid-19 dicatatkan di bahagian pulau, dengan 16 kes di tanah besar, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini 50 orang.

Pulau Pinang mencatakan kematian pertama Covid-19 hari ini membabitkan lelaki tempatan berusia 74 tahun daripada kluster Masjid Sri Petaling. Beliau dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac.

10 kematian akibat Covid-19 dicatatkan di seluruh negara setakat ini, sementara jumlah jangkitan sebanyak 1,306 kes, termasuk 123 kes terbaru yang direkodkan hari ini.

KREDIT: FREEMALAYSIATODAY

Google ads
Back to top button