Buletin

FORD BANGUNKAN TEKNOLOGI TIDAK PERLU BERHENTI DI LAMPU ISYARAT

Ford sejak kebelakangan ini banyak membangunkan teknologi insani yang bagus-bagus seperti jaket keselamatan, amaran salah masuk lorong dan sistem amaran kemalangan.

Entah apa lagi teknologi yang dibangunkan oleh Ford dan kini syarikat itu sedang menumpukan perhatian kepada satu sistem di mana pemandu tidak perlu berhenti di lampu isyarat.

Satu rutin dalam pemanduan ialah terpaksa berhenti di lampu isyarat dan Ford mahu pengguna jalan raya bayangkan satu-satunya hentian yang dibuat apabila sudah sampai ke destinasi.

Boleh tidak konsep ini dicapai? Cara berfikir Ford ialah kereta berhubung di antara satu sama lain dan kemudian akan menentukan sama ada kereta diperlahan atau ditambah kelajuan bagi mengelak kemalangan atau berhenti statik.

Sistem yang dipanggil Intersection Priority Management (IPM) telah melalui demonstrasi pada awal Oktober lalu di jalan Milton Keynes, United Kingdom.

Projek ini dibiayai oleh UK Autodrive Programme dengan sasaran supaya pemandu tidak perlu hentikan kereta saja-saja di persimpangan jalan seterusnya memperbaiki laluan trafik dan meningkatkan keselamatan dan kecekapan.

Terdapat satu kajian menunjukkan secara purata pemandu menghabiskan dua hari menunggu di lampu isyarat manakala satu lagi kajian mendapati ia adalah punca sehingga 60 peratus kemalangan jalan raya.

BACA: MAHU BELI FORD GT? TIADA MASALAH CUMA KENA TUNGGU 2 TAHUN

Selain menjimatkan masa, perjalanan tanpa berhenti di persimpangan juga dapat menjimatkan minyak di mana pemandu tidak perlu membrek dan menggerakkan kereta semula.

Berikut ialah cara ringkas bagaimana IPM berfungsi:

  • Menggunakan komunikasi V2V (vehicle to vehicle) untuk koordinasi dengan kenderaan lain yang berdekatan dan mencadangkan kelajuan optimum bagi membolehkan kereta melepasi satu sama lain di persimpangan tanpa perlu berhenti
  • Kereta ujian dilengkapi sistem komunikasi V2V yang menyiarkan lokasi kenderaan, arah perjalanan dan kelajuan
  • Sistem IPM dapat mengenalpasti simpang berdekatan dan kenderaan yang menghampirinya
  • Ia kemudian akan mencadangan kelajuan optimum untuk setiap kenderaan yang menghampiri simpang dan melaluinya dengan selamat
  • Teknologi ini dibangunkan oleh Ford dan rakan projek lain yang merupakan sebahagian daripada UK Autodrive
  • Program Autodrive ini bernilai GBP 20 juta dan ianya bertujuan membawa teknologi pemanduan kendiri dan sambungan daripada medan ujian ke jalanan
  • Selain daripada IPM, terdapat beberapa lagi teknologi dalam program ini yang dipertontonkan seperti Intersection Collision Warning dan Green Light Optimal Speed Advisory (GLOSA)
  • Turut melalui sesi demontrasi ialah Collaborative Parking dan Emergency Vehicle Warning

Google ads
Back to top button