
KLIMS 2026 TAMPILKAN PELBAGAI EV DAN TEKNOLOGI MOBILITI BAWAH SATU BUMBUNG
Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai model kenderaan elektrik (EV) serta teknologi mobiliti terkini menerusi Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun ini.
Penganjuran edisi kali ini hadir pada waktu yang signifikan bagi industri automotif negara susulan pelaksanaan dasar baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkaitan kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Sehubungan itu, KLIMS 2026 dijangka menjadi platform penting bagi pengguna yang ingin meninjau serta membuat keputusan pembelian sebelum sebarang pelarasan harga berlaku selepas penguatkuasaan dasar tersebut.
Pameran berkenaan menghimpunkan pelbagai jenama automotif tempatan dan antarabangsa, sekali gus membolehkan pengunjung membandingkan model serta teknologi yang ditawarkan dalam satu lokasi.

Selain melihat kenderaan secara dekat, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat terus daripada pakar industri mengenai pemilikan EV, kemudahan pengecasan dan perkembangan teknologi mobiliti mampan pada masa depan.
Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman pemanduan sebenar, KLIMS 2026 menyediakan lebih 60 buah kenderaan untuk sesi pandu uji melibatkan pelbagai jenama dan segmen pasaran.
Penganjur menjangkakan acara ini mampu menarik minat bukan sahaja pembeli pertama, malah peminat automotif yang ingin mengikuti perkembangan terkini dunia mobiliti.
Dari segi tiket, kemasukan adalah percuma untuk semua pengunjung pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Khamis. Bagi hari Jumaat, hujung minggu dan cuti umum, tiket dewasa berharga RM30 seorang.
Warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang kurang upaya (OKU) serta pelajar yang menunjukkan kad pengenalan atau kad pelajar masing-masing hanya perlu membayar RM15.
Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pula menikmati kemasukan percuma sepanjang tempoh pameran.
Penganjur turut menawarkan Pas Akses Tanpa Had KLIMS 2026 pada harga RM80 yang membolehkan pemegangnya memasuki pameran sepanjang tempoh acara berlangsung.
Selain itu, pakej lima pengunjung ditawarkan pada harga RM100, bersamaan RM20 seorang.
Bagi memudahkan perjalanan pengunjung, perkhidmatan bas percuma disediakan dari MRT Titiwangsa dan LRT Pasar Seni.
Turut disediakan ialah perkhidmatan van ulang-alik dari kawasan parkir terbuka MATRADE serta Stadium Hoki Nasional.
Kemudahan pengangkutan tambahan juga disediakan dari lapan lokasi berhampiran termasuk Kompleks Mahkamah Syariah, Masjid Wilayah Persekutuan, MITI, MATRADE, Publika Shopping Gallery, Hyatt House Kuala Lumpur Mont Kiara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Jalan Duta, Stadium Hoki dan Stadium Tenis.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket lebih awal melalui laman pendaftaran rasmi KLIMS 2026.
- BACA: “KERETA TIKTOK” BAKAL DILANCARKAN DI CHINA TAHUN INI, HASIL KERJASAMA SERES DAN BYTEDANCE
- BACA: CHERY SAMBUT ULANG TAHUN KE-3 DENGAN MEGA REWARDS! HARGA BERMULA SERENDAH RM80,800
- BACA: CUAI BAKAR SERAT POKOK, 20 KERETA ELEKTRIK MUSNAH SEKELIP MATA
- BACA: MERCEDES-BENZ SAMBUT ULANG TAHUN KE-140 DI MALAYSIA MELALUI JELAJAH GLOBAL “140 YEARS. 140 PLACES.”



