Buletin

DATSUN GO-live – RM38K & BOLEH LAWAN PERODUA AXIA/MYVI?

Teknologi dunia automotif sekarang sedang bergerak maju ke hadapan. Ada yang sedang menguji pemanduan autonomi, menggunakan kuasa bateri dan pelbagai lagi.

Walau bagaimanapun pusat kemajuan tersebut tertumpu di Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan.

Hakikatnya sebahagian besar dunia automotif masih bergantung harap lagi kepada teknologi konvensional iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE).

Dalam perkembangan teknologi canggih dan hebat, masih terdapat pasaran besar untuk kereta ekonomikal dan ringkas. Hidupkan enjin dan terus pandu. Cukup masa hantar untuk servis dan jika ada masalah tidak perlu mesin canggih untuk diagnos.

Dengan ruang yang ada ini tidak hairanlah pengeluar utama dunia mempunyai jenama berasingan bagi memenuhinya.

Contoh terdekat apabila Nissan menghidupkan semula jenama Datsun setelah lama direhatkan.

Lebih dekat apabila Datsun dipasarkan di Indonesia seterusnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna di negara tersebut.

Sempena Pameran Kenderaan Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2018 yang sedang berlangsung sekarang, Datsun mempamerkan sebuah model yang segar dan ranggi iaitu GO-live versi istimewa.

Model yang dinaiktaraf dari varian GO-live tertinggi ini bukan projek suka-suka yang dipamerkan di GIIAS sahaja tetapi bakal dijual kepada pelanggan dalam unit terhad.

Selain GO-live, Datsun turut mempamerkan model lain seperti GO, GO+ dan crossover baharu CROSS.

GO-live disasarkan kepada profesional muda di Indonesia dan berada dalam segmen kereta bandar. Penghantaran pertama GO-live ialah pada November depan.

Berikut ialah kelengkapan pada Datsun GO-live versi istimewa:

  • Bernadikan enjin Datsun 1.2 liter berkuasa 78 hp dengan transmisi Xtronic CVT atau lima kelajuan manual
  • Aerokit dengan gayaan agresif terdiri daripada bamper depan dengan lips, skirt dan pelekap sisi, spoiler bumbung dan peresap bamper belakang. Aerokit ini dikenakan warna kuning.
  • Roda dengan corak warna unik iaitu hitam dan kuning
  • Kerusi dengan sulaman dan tali pinggang keledar berwarna kuning 
  • Meter bacaan dengan riasan kuning

Mengenai harganya pula, Datsun adalah jenama ekonomikal jadi harga GO-live ini agak berpatutan.

Harga permulaan untuk model manual ialah Rp 135,000,000 atau RM 38,100 manakala model CVT pula ialah Rp 150,500,000 atau RM 42,486.

Harga ini juga menunjukkan satu perkara, model popular di negara kita iaitu Perodua Axia, Myvi, Bezza atau Saga sebenarnya adalah pada paras harga mampu milik jika dibandingkan dengan negara jiran.

Cuma bab cukai itu biasa kerana harga Proton Iriz dan Perodua Myvi (Daihatsu Sirion) di Indonesia lebih tinggi berbanding harga di negara kita.

Apa pun cantik juga Datsun GO-live ini kan?

BACA: JANGAN TERTIPU, INI BUKAN FERRARI 250 GTO – TAPI DATSUN 280Z!

BACA: DATSUN BLUEBIRD OLDSKOOL 510 ENJIN 50 TAHUN!

Google ads
Back to top button