
TAHUKAH ANDA? DATSUN 240Z INI BERHARGA LEBIH RM174K!
Fakta tentang kereta mempunyai susut nilai sememangnya tidak boleh disangkal. Namun ada pengecualian untuk model yang menjadi buruan atau collector’s item.
Kebelakangan ini boleh disaksikan bagaimana kereta ikonik buatan Jepun dijual pada harga luar biasa sehingga mencecah jutaan ringgit.
Sesetengah model Jepun pula masih berlegar pada harga yang tinggi dan tidak turun-turun.

Ini pula contoh terbaru kereta buatan Jepun yang mempunyai nilai tinggi. Sebuah Datsun 240Z ‘Works Rally’ replika telah terjual pada harga 32,063 Pound Sterling (RM174,037.07).
Kereta itu ditawarkan melalui platform bidaan Classic Car Auctions di United Kingdom (UK).
Sejarah 240Z spesifikasi rali ini panjang dan menarik. Walaupun dijual di UK, unit ini diimport dari California, Amerika Syarikat dengan pemanduan kiri dan didaftarkan di UK pada 2011.
Ubah suai kepada spesifikasi rali dibuat oleh Rally Preparation Services di UK dan tahukah anda berapa kos yang terlibat? 60,000 Pound Sterling atau bersamaan RM325,672.20 pada nilai semasa.
240Z ini disiapkan untuk perlumbaan London to Cape Town Rally 2012 dan bukan sekadar untuk perlumbaan rali hujung minggu.
Selepas rali tersebut, 240Z ini disimpan dan hanya digunakan sekali-sekala sahaja.
Tiga tahun lalu 240Z ini bertukar tangan dan pemilik baharu berhasrat untuk menggunakannya untuk perlumbaan rali namun terbantut akibat pandemik Covid 19.
Dari segi keadaan, 240Z ini bukan dibaik pulih untuk kembali kepada keadaan asal tetapi dibuat supaya boleh dibelasah di dalam perlumbaan rali yang juga sebahagian daripada sejarah 240Z itu sendiri.
Di dalam keadaan tersebut, cari perlumbaan rali, daftar nama dan berlumba!
BACA: YOSHIHIKO MATSUO DAN REKA BENTUK IKONIK DATSUN 240Z
BACA: DATSUN BUAH KANA VERSI 2 PINTU!
BACA: NISSAN X-TRAIL 2022 MASUK AUSTRALIA, ENJIN 2.5L, TANPA E-POWER, DARIPADA RM108K